HASBULLAH (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO IHSAN KDA FC
HASBULLAH (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO IHSAN KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Hasbullah Abu Bakar tidak menjangkakan peluang diberikan ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk menurunkannya sebagai pemain gantian pada aksi suku akhir pertama Piala FA memberi rezeki berganda buatnya dan pasukan.

Jaringannya pada minit ke-73 ketika menentang Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang Jumaat lalu menyaksikan Sang Kenari menang 1-0 sekali gus pulang membawa bekalan berharga buat pasukan dalam misi penting untuk melayakkan diri ke separuh akhir Piala FA musim ini.

"Saya tidak menjangka dapat menyumbang gol pertama buat Kedah selepas diberi kepercayaan beraksi pada babak kedua kerana ada pemain lain yang lebih berupaya melakukan jaringan.

"Tetapi apapun saya anggap ia satu rezeki selepas dipilih oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk turun sebagai pemain gantian bagi memperkuatkan pasukan dan memburu gol ketika itu.

"Saya gembira dan bersyukur dengan sumbangan gol peribadi pertama itu untuk pasukan pada musim ini dan sumbangan gol ini juga cukup bermakna buat saya," katanya.

Dalam pada itu Hasbullah yang juga pernah memilki pengalaman berharga bersama Melaka United dan Negeri Sembilan FC beberapa musim lalu juga berkata. dia mahu terus meningkatkan keupayaannya sebagai pemain tengah.

"Dengan jaringan itu juga, ia akan membangkitkan lagi semangat saya dan juga pasukan untuk berdepan Penang FC pada saingan suku akhir kedua di Stadium Darul Aman pada 5 Julai nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 4:00 PM