JOHAN akan lebih memperbaiki cara untuk kepung lawan. FOTO Bernama
JOHAN akan lebih memperbaiki cara untuk kepung lawan. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar berjanji dirinya akan tampil dalam gaya permainan baharu yang lebih segar berbanding sebelum ini.

Bagi Johan atau lebih mesra disapa Jojo berkata, selepas perlawanan menentang Nguyen Tran Duy Nhat dalam pertarungan ONE 167 di ONE Championship awal bulan lalu, dirinya dapat belajar pelbagai perkara dan dia akan jadikan perlawanan itu sebagai anjakan paradigma dalam kariernya.

"Lepas perlawanan menentang Nguyen itu sudah pasti, dalam sukan atau semua sukanlah, dalam hidup ada kala ada menang ada kalah. Kadang-kadang kita atas, kadang-kadang kita bawah. Yang penting, kita dapat kawal apa yang boleh kita boleh kawal. Untuk perlawanan seterusnya, semua orang akan nampak pembaharuan dan peningkatan kerana saya akan belajar daripada kesilapan sebelum ini.

"Saya belajar gelanggang yang saya lawan hari itu adalah yang octagon. Dia lainlah daripada gelanggang ring macam biasa ini. Jadi, sudah pasti, saya akan lebih memperbaiki cara untuk kepung dia (lawan), cara untuk perangkap dia. Itu adalah beberapa perkara baharulah," katanya.

Selain itu, Jojo juga memaklumkan akan cuba mengatur sekurang-kurang dua perlawanan lagi sebelum tahun ini berakhir. Malahan, dia juga ingin memperbanyakkan lagi pertarungannya pada musim hadapan berbanding musim ini.

"Insya Allah, tahun ini saya nak berlawan paling kurang lagi dua kali. Jadi, insya-Allah bulan September dan bulan Disember. Tapi kalau tak dapat pun, rasanya tiada masalah. Untuk tahun depan pula, saya sasar nak lawan paling kurang lima ke enam kali lah.

"Tahun ini, bermula agak lambat sebab nak habiskan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), bulan Ramadaan dan sebagainya. Jadi, lama juga 'off' untuk perlawanan terakhir ini (menentang Nguyen),"c katanya.

Terdahulu, atlet berusia 18 tahun itu gagal mencatat kemenangan ketika menentang petarung dari Vietnam, Duy Nhat dalam perlawanan ONE Championship 167 di Impact Arena, Bangkok, Thailand.

Atlet berpengalaman itu adalah juara WMF Muay Thai sebanyak lima kali hanya mampu menang ke atas wakil Malaysia dengan keputusan juri yang memihak kepada dirinya.

Untuk rekod, kekalahan Jojo itu adalah yang pertamanya dalam kejohanan itu selepas enam pertarungan sejak Februari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 3:05 PM