Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar. - FOTO NSTP/Aziah Azmee
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar. - FOTO NSTP/Aziah Azmee
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) mengumumkan kadar dividen bagi saham biasa sebanyak 6.5 peratus dan saham keutamaan (iRCPS) sebanyak 6.78 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, pengumuman dividen bersih bagi tahun 2023 itu membabitkan agihan peruntukan sebanyak RM63.97 juta selepas ditolak zakat yang akan memberi manfaat kepada 93,798 anggota CBP dan pemegang saham yang layak.

Katanya, kadar dividen itu adalah yang tertinggi dicapai CBP dalam tempoh lima tahun dan disumbang oleh keuntungan tertinggi yang direkodkan iaitu sebanyak RM120 juta tahun lalu.

"Dengan prestasi yang cemerlang, CBP berada di landasan tepat seperti Pelan Perancangan Strategik lima tahun (2022–2026) dan CBP dalam perancangan untuk menerbitkan sukuk bagi menyokong pertumbuhan dan pengembangan perniagaan yang pesat.

"Selain itu kestabilan kewangan yang dipamerkan CBP ini juga membolehkan kami mengagih kadar dividen yang menarik ini kepada anggota," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung perwakilan tahunan (MAPT) di sini, hari ini.

Menurutnya, buat julung kali pembayaran dividen dilakukan sebaik sahaja tamat MAPT dan anggota boleh membuat semakan akaun simpanan melalui aplikasi HELOCBP.

Khairil Anuar berkata, setakat ini CBP mempunyai lebih kurang 95,000 anggota dan terkini pihaknya sudah membuka permohonan baharu untuk melanggan saham CBP bermula 1 Julai 2024.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan saham CBP akan dilanggan di antara RM300 juta ke RM500 juta oleh pelanggan sedia ada dan baharu dalam tempoh enam bulan ini.

"Berikutan permintaan yang tinggi, langganan saham CBP bagi penambahan atau permohonan baharu kini dibuka semula kepada semua yang layak.

"Maksimum langganan saham adalah sebanyak RM5 juta bagi individu (minimum RM1,000) dan maksimum RM200 juta bagi koperasi yang dibuka bermula 1 Julai sehingga 31 Disember 2024," katanya.

Selain itu, CBP juga dalam perancangan bagi membuka semula langganan iRCPS sebagai sebahagian daripada pelan pengurusan modal CBP.

Mengenai prospek perniagaan CBP tahun ini, Khairil Anuar berkata, beliau menjangkakan ia terus kekal mencabar dan merancang untuk mengurangkan kos pembiayaan bagi mengekalkan prestasi seperti tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 3:28 PM