Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh ketika sidang media pada Program Hari Terbuka MySubsidi Diesel Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 Bersama KPDN di Dewan MPKK Lima Kongsi. FOTO DANIAL SAAD
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh ketika sidang media pada Program Hari Terbuka MySubsidi Diesel Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 Bersama KPDN di Dewan MPKK Lima Kongsi. FOTO DANIAL SAAD
Oleh Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan spekulasi kenaikan harga gula memandangkan perkara itu belum diputuskan Kabinet.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata spekulasi itu berlaku pada April lalu apabila pihak industri gula memohon supaya harga barang asas itu dinaikkan dengan alasan mereka mengalami kerugian.

"Pihak industri itu (gula) datang mengadu mendakwa mereka mengalami kerugian 88 sen bagi setiap kilogram (kg) gula yang dikeluarkan.

"Oleh itu, mereka mohon untuk naikkan harga tapi apa yang kerajaan buat adalah berikan insentif bernilai RM42 juta sebulan kepada syarikat-syarikat gula ini untuk stabilkan bekalan.

"Jadi apa yang boleh saya tegaskan di sini berita spekulasi kenaikan harga gula itu berlaku April lalu dan setakat ini, Kabinet tidak membuat sebarang keputusan mengenainya," katanya ketika diminta mengulas dakwaan kerajaan akan melakukan pengapungan harga keperluan asas berkenaan dalam masa terdekat.

Terdahulu, Fuziah ditemui dalam Program Hari Terbuka MySubsidi Diesel Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sungai Bakap di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, kerajaan juga belum membuat keputusan berhubung tempoh pemberian insentif itu kepada pihak industri gula dan ia masih berlangsung.

"Setakat ini pemberian insentif itu masih berjalan dan tiada tempoh sampai bila ia akan diberikan," katanya.

Media pada April lalu melaporkan KPDN memaklumkan kenaikan harga kawalan gula daripada RM2.85 sekilogram ketika ini selain isu subsidi gula antara sedang difikirkan menerusi mekanisme baharu penentuan harga yang akan diputuskan pada Jun depan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata, penyelesaian perkara berkenaan bukan suatu yang mudah terutama sekiranya melibatkan kenaikan harga kawalan.

Katanya, perkara itu perlu difikirkan dengan teliti bagi menangani isu penyeludupan berikutan harga di negara ini masih rendah berbanding RM5 sekilogram di Indonesia dan RM8.30 di Filipina.

Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata, setiap negeri disaran untuk mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh berhubung pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.

Menurutnya, ia adalah bagi membolehkan penyampaian maklumat dapat dibuat secara lebih berkesan dalam memberi peluang kepada syarikat serta pemilik kenderaan yang layak memohon untuk mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan inisiatif itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 3:06 PM