FADZLI (tengah) bersama atlet tinju Pahang ketika meninjau latihan di Pusat Tinju, Majlis Sukan Pahang, Kuantan. FOTO ASROL AWANG
FADZLI (tengah) bersama atlet tinju Pahang ketika meninjau latihan di Pusat Tinju, Majlis Sukan Pahang, Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Pahang akan mempertaruhkan 50 peratus atlet baharu pada temasya Sukma Sarawak 2024 yang dijadualkan Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, berkata di temasya itu, Pahang menghantar 603 atlet, termasuk 276 wanita.

"Walaupun mempertaruhkan atlet baharu yang kali pertama menyertai Sukma, kita percaya dengan kemampuan atlet berkenaan untuk bersaing dan mencatat pencapaian terbaik.

"Dengan latihan intensif yang dijalankan, sasaran 40 pingat emas dan berada di kedudukan lima terbaik pada temasya sukan itu diharap dapat tercapai.

"Saya menetapkan sasaran berkenaan dan optimis pencapaian terbaik berbanding pada Sukma 2022 di Kuala Lumpur apabila menamatkan saingan di kedudukan kesembilan," katanya.

Pada Sukma 2022, kontinjen Pahang mengutip keseluruhan 70 pingat, masing-masing 22 emas, 21 perak dan 27 gangsa.

Fadzli berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) serius dalam memperbaiki prestasi dan pencapaian kontinjen Pahang pada temasya kali ini.

"Dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan seperti latihan di luar negara dan kenaikan elaun atlet, kita mengharapkan pencapaian terbaik dapat dipersembahkan atlet yang bertanding," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 3:11 PM