SKUAD judo negara di AUG 2024. FOTO Ihsan Sukan KPT
SKUAD judo negara di AUG 2024. FOTO Ihsan Sukan KPT
Syafiq Aznan


Surabaya: Selepas tidak dipertandingkan pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, skuad judo negara tampil dengan aksi cemerlang pada edisi 2024 di Surabaya-Malang apabila menamatkan saingan selaku pasukan kedua terbaik di belakang tuan rumah, Indonesia.

Skuad judo negara berjaya menyumbang tiga pingat emas di AUG 2024 menerusi Nur Farah Izzati Wallah (-52 kilogram wanita), Afiq Danish Zapri (-90kg) dan Amir Danial Abdul Majeed (-81 kg) sepanjang empat hari pertandingan di Pusat Konvensyen Airlangga.

Mereka juga membawa pulang tiga pingat perak menerusi Muhammad Fareez Mohameid (-60kg), Siti Roha Maszuraini (+78kg) dan acara berpasukan campuran selain pingat gangsa oleh Tan Yi Ting (-73kg).

Pengurus pasukan, Wan Mohd Eizalie Wan Mohamed Nor menyifatkan skuad judo negara menunjukkan prestasi yang amat baik sepanjang AUG 2024 yang menyaksikan mereka berjaya melepasi sasaran awal dua pingat emas yang diletakkan.

"Kita melepasi sasaran awal dua pingat emas dan semua atlet kita iaitu lima lelaki dan lima wanita berjaya membawa pulang pingat menerusi acara individu dan berpasukan.

"Kita juga adalah pasukan terbaik di belakang Indonesia yang mengambil bahagian dalam setiap kategori pertandingan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Eizalie turut melihat pembabitan jurulatih kebangsaan yang turut 'turun padang' untuk membantu skuad judo AUG 2024 memberi satu nilai tambah yang terbaik dan membantu atlet mereka tampil dengan persembahan lebih meyakinkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 2:56 PM