AKSI antara Selangor dan Kuching City malam tadi. FOTO Bernama
AKSI antara Selangor dan Kuching City malam tadi. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selangor FC tidak melihat kekalahan 1-2 di tangan Kuching City FC pada aksi pertama suku akhir Piala FA tidak bermakna pintu untuk pasukan terbabit melangkah ke pusingan seterusnya sudah tertutup rapi.

Hal ini kerana, menurut Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil barisan anak buahnya akan bangkit pada perlawanan kedua sekali gus memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Beliau berkata, walaupun barisan anak buahnya beraksi dengan baik, mereka perlu menerima hakikat nasib tidak menyebelahi Selangor FC apabila kesilapan mudah memberi ruang kepada pasukan lawan menjaringkan gol.

"Sudah tentu keputusan perlawanan pertama ini tidak menggembirakan pasukan namun ada baiknya kita boleh tebus balik pada aksi di laman sendiri.

"Jadinya, ada sesuatu perlu kita lakukan bila tewas di tempat lawan untuk kita pastikan kemenangan di laman sendiri. Setakat ini, keputusan masih dalam kawalan dan akan beraksi lebih baik kelak," katanya.

Kejutan berlaku di bumi Sarawak apabila pasukan pilihan Selangor FC tumbang 2-1 kepada Kuching City FC dalam aksi pertama suku akhir Piala FA di Stadium Negeri Sarawak, malam tadi.

Kekalahan itu nyata mengejutkan ketika reputasi Red Giants dalam saingan Liga Super dan beberapa aksi pramusim cukup hebat dicalarkan Kuching City yang lebih bernafsu.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan Ronnie Fernandez dan Jordan Mintah manakala jaringan Selangor FC disempurnakan James Okwuosa untuk keputusan 2-1.

Sementara itu, Pengendali Kuching City FC Aidil Sharin Sahak memuji semangat juang ditampilkan barisan pemain walaupun mengetahui lawannya mempunyai reputasi cukup besar dalam saingan Liga Super.

"Kita berpuas hati dengan barisan pemain yang mempamerkan komitmen tinggi sepanjang tempoh perlawanan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Kuching City FC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 3:17 PM