RAFIZI berucap pada Ceramah Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Taman Tasek Indah. FOTO Danial Saad
RAFIZI berucap pada Ceramah Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Taman Tasek Indah. FOTO Danial Saad
Siti Aminah Mohd Yusof


Nibong Tebal: Pengundi Melayu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dilihat kembali menyokong Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan pihaknya, hanya 48 peratus daripada orang Melayu di kawasan itu masih memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, dapatan itu berbeza pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu yang menyaksikan majoriti besar pengundi Melayu iaitu meliputi kira-kira 77 peratus menyokong PN.

"Sekarang, apabila kami bertanya kepada pengundi sama ada mereka berpuas hati dengan prestasi PN sepanjang tahun lalu, kami menjangkakan 70 peratus akan menyokong mereka. Bagaimanapun, hanya 48 peratus saja yang berpuas hati.

"Pengundi Melayu tidak berpuas hati sejak PN mengambil alih kerusi negeri. Jangan sebut pengundi Cina dan India. Sudah tentu mereka lebih tidak berpuas hati," katanya pada kempen Ceramah Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap malam tadi.

Pada PRN lalu, kerusi DUN Sungai Bakap yang dahulunya menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan kemudiannya Pakatan Harapan (PH) sebelum dimenangi PN pada PRN lalu.

Ketika itu, ahli Umno yang dikatakan tidak berpuas hati dengan gabungan BN-PH mengundi calon PN sebagai tanda protes.

Menjelaskan lebih lanjut, Rafizi berkata, PN memainkan isu gangguan bekalan air di beberapa bahagian Sungai Bakap semasa kempen mereka sedangkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pernah menjadi Menteri Air dan Alam Sekitar.

"Cuba kita tanya yang menjadi menteri air dulu ini siapa? Bukan PH, bukan BN, bukan kita daripada kerajaan Madani. Menteri air ini Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Jadi kalau kita tahu yang Sungai Bakap ini yang dijadikan isu suruh lawan kerajaan kerana calon kita kononnya masalah air tak diselesaikan. Sebab sekarang kita tahu seperti diumumkan berkali-kali masalah air di Sungai Bakap saja," katanya.

Rafizi yang Menteri Ekonomi berkata, masalah air bukan saja berlaku di Sungai Bakap namun ia turut membabitkan masalah di utara Semenanjung.

Menurutnya, pertambahan penduduk dan pembangunan industri menjadi antara faktor yang menyumbang kepada permasalahan berkenaan.

"Apabila orang makin banyak, sungai sebanyak itu saja. Mana ada sungai beranak, semakin lama semakin tohor dan mendap, memanglah kebiasaannya mana-mana kalau orang semakin ramai, sungai makin cetek air kurang, tambah pula cuaca semakin panas.

"Jadi isunya semasa kita jadi pembangkang memang kita tak tahu, bukan kerja aku. Semasa itu kita duduk kejar segala yang rasuah semua ini, yang bertanggungjawab merancang dan yang ada maklumat adalah Tuan Ibrahim Tuan Man," katanya.

Rafizi berkata Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memulakan pelbagai projek infrastruktur untuk menangani masalah air termasuk mengambil langkah awal dengan melihat secara keseluruhan masalah air yang berlaku di seluruh negara.

"Tak sampai satu tahun kerajaan Madani ambil alih tanpa ada PRK Sungai Bakap pun, Perdana Menteri suruh, jadi saya kena ikut. Ini dah berlaku lama dah saya ingat awal tahun lagi semasa kita melihat keseluruhan masalah air di Malaysia.

"Jadi masalah air di Kelantan pun kita sedang selesaikan, yang di utara tapi pun kita dah buat peruntukan jadi kita telah mengumumkan projek untuk Pulau Pinang-Perak dan kami akan terus melaksanakan projek untuk manfaat rakyat," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 3:03 PM