SYED Abu Hussin pada sidang media di Pusat Khidmat Bukit Gantang di Kampung Benggali. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
SYED Abu Hussin pada sidang media di Pusat Khidmat Bukit Gantang di Kampung Benggali. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bukit Gantang: Enam Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menghantar surat penjelasan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai tindakan Bersatu terhadap mereka pada 27 Jun lalu.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, surat itu dihantar bagi memudahkan Speaker membuat keputusan ke atas kemelut yang berlaku.

Menurutnya, surat itu menyatakan Bersatu sudah mengeluarkan nama mereka daripada senarai keahlian parti terbabit dan mereka menjadi anggota bebas di dalam Dewan Rakyat.

"Perkara ini tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan jika merujuk kepada perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa kerusi seseorang ahli Dewan Rakyat akan menjadi kosong sekiranya dia melepaskan keanggotaan partinya atau tidak lagi menjadi anggota parti politik itu atau selepas dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai satu parti politik dan menyertai satu parti politik yang lain sebagai ahli.

"Dalam Perlembagaan Persekutuan secara khusus merujuk kepada ketiga-tiga syarat yang dikatakan tadi dan ia tidak boleh dilakukan oleh mana-mana pihak ketiga," katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang, di Kampung Benggali, di sini, hari ini.

Beliau berkata, daripada penjelasan itu, mereka berenam tidak melakukan apa-apa kesalahan yang melanggar peruntukkan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengisytiharkan kerusi mereka perlu dikosongkan.

"Parti Bersatu mengambil tindakan seolah-olah untuk memerangkap kami kerana memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pindaan Perlembagaan yang dibuat oleh Bersatu seolah-olah sengaja dibuat untuk memecat keahlian saya dan rakan-rakan.

"Ia sama sekali tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan pindaan perlembagaan parti tidak memberi sebarang kesan kepada kedudukan kami sebagai Ahli Dewan Rakyat," katanya.

Syed Abu Hussin berkata, walau apa pun keputusan selepas ini, beliau tetap akan mempertahankan kerusi Bukit Gantang dan belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti dalam masa terdekat.

"Apa-apa pun semuanya terletak kepada kebijaksanaan Speaker dalam membuat keputusan.

"Saya sentiasa bersedia atas apa juga keputusan dan tetap akan mempertahankan kerusi ini walau pun diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK)," katanya.

Mengenai kemungkinan berlaku PRK di kawasannya, beliau menegaskan perkara itu membuang masa dan menyusahkan rakyat.

Menurutnya, jika berlaku sekali pun dan ditakdirkan pembangkang menang ianya tetap tidak merubah kerajaan sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 2:52 PM