SINERGI Perdana Sdn Bhd selaku Orang Kena Tuduh (OKT) yang diwakili Pengurus Undang-Undang dan Korporatnya, Siti Fairuz Kamis (kanan) didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas mengaku bersalah mengabaikan aspek keselamatan sehingga menyebabkan pekerjanya maut dua tahun lalu. FOTO BERNAMA
SINERGI Perdana Sdn Bhd selaku Orang Kena Tuduh (OKT) yang diwakili Pengurus Undang-Undang dan Korporatnya, Siti Fairuz Kamis (kanan) didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas mengaku bersalah mengabaikan aspek keselamatan sehingga menyebabkan pekerjanya maut dua tahun lalu. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Klang: Konsortium pertanian Sinergi Perdana Sdn Bhd didenda RM40,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana gagal memastikan keselamatan di tempat kerja sehingga menyebabkan seorang pekerja maut terkena renjatan elektrik, dua tahun lalu.

Hakim Razali Arifin menjatuhi hukuman terhadap syarikat terbabit sebagai Orang Kena Saman (OKS) selepas syarikat itu yang diwakili Pengurus Undang-Undang dan Korporat Siti Fairuz Kamis, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

Sinergi Perdana sebagai majikan didakwa gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja dengan tidak menyediakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan untuk menjalankan aktiviti kerja kimpalan pada tapak motor elektrik 'granulator chute' sehingga menyebabkan kemalangan maut kepada Jafri Jamaluddin, 41.

Syarikat itu melakukan kesalahan berkenaan di bahagian pengeluaran dalam kilang, di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, di sini, pada 4.50 petang 19 Februari 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 15(2)(c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa yang bekerja berseorangan membuat kerja baik pulih 'granulator chute' terkena renjatan elektrik.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang tetapi disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.

Terdahulu, semasa memohon hukuman yang ringan, Siti Fairuz berkata, kemalangan berkenaan berlaku ketika syarikat itu baru beroperasi selama setahun dan ia adalah kesalahan pertama.

"Kami telah mengambil tindakan segera dengan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan kerja-kerja selamat dengan pekerja sentiasa diberikan latihan," katanya.

Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor Jamaludin Harun dan Mohd Nizam Teh Kammaruddin berkata, akibat kecuaian terbabit, syarikat itu kehilangan pekerja berkemahiran.

"Tindakan dibuat selepas kejadian berlaku, sepatutnya dilakukan sebelum berlaku. Justeru, saya mohon hukuman setimpal dan berat sebagai pengajaran kepada OKS dan peringatan kepada syarikat di luar sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 4:21 PM