Kereta Honda Civic yang dipandu lelaki remuk selepas terbabas dalamĀ  kawasan takungan najis di Jalan Sepuluh, Taman Seri Wang. FOTO IHSAN Polis
Kereta Honda Civic yang dipandu lelaki remuk selepas terbabas dalamĀ  kawasan takungan najis di Jalan Sepuluh, Taman Seri Wang. FOTO IHSAN Polis
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Sebuah kereta terbabas masuk ke dalam takungan najis di Jalan 10 berhampiran stesen minyak di Taman Seri Wang di sini, semalam selepas pemandunya hilang kawalan ketika melarikan diri selepas melanggar motosikal p-hailing.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku pada jam 4.25 petang membabitkan motosikal Honda C100 dengan kereta Honda Civic.

Katanya, hasil siasatan mendapati kereta Honda Civic yang dipandu lelaki berusia 23 tahun itu dipercayai sedang bergerak di laluan lurus sama arah dengan penunggang motosikal.

"Namun apabila sampai di lokasi kemalangan, pemandu kereta itu dipercayai terlepas simpang dan membelok ke sebelah kiri jalan (laluan keluar simpang) sebelum melanggar penunggang motosikal yang berada di sebelah kiri.

"Pemandu kereta itu memecut laju kerana ketakutan namun kemudiannya terbabas ke dalam takungan najis yang terletak kira-kira 100 meter lokasi kemalangan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Azharuddin berkata, penghantar makanan berusia 19 tahun itu mengalami cedera di dahi, pipi, calar tangan dan kaki.

Beliau berkata, pemandu kereta itu pula mengalami cedera di dahi dan belakang badan.

"Siasatan mendapati, kemalangan dipercayai berpunca akibat kecuaian pemandu kereta itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 3:31 PM