Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya 20,000 kamera litar tertutup (CCTV) diperlukan di seluruh ibu negara bagi tugasan pemantauan trafik dan jenayah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini sebanyak 5,000 CCTV sudah dipasang di sekitar ibu negara bagi memantau lalu lintas, bencana banjir dan tumpahan konkrit.

"Saya juga dimaklumkan sebahagian dari kamera itu turut digunakan untuk pemantauan jenayah serta kawalan berkonsepkan bandar selamat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pada hemat kami, DBKL memerlukan 20,000 CCTV dalam tempoh sekarang hingga Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) usaha ini mesti dilakukan.

"Kami berpendapat pemasangan CCTV ini tidak boleh dilakukan secara silo (sendirian) dan kini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberikan tanggungjawab untuk mencari peruntukan bagi memasang CCTV (tambahan)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Keseksaan Jalan Raya (JKMKKJR) di Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat Kuala Lumpur (KLCCC), Bukit Jalil, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi .

AHMAD Zahid (kanan) melawat bilik kawalan ketika hadir pada Mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya Bilangan 2  Tahun 2024 di Kuala Lumpur Command Control Centre hari ini.  Hadir sama, Anthony Loke, Dr Zaliha dan Nanta Linggi. FOTO Hazreen Mohamad
AHMAD Zahid (kanan) melawat bilik kawalan ketika hadir pada Mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya Bilangan 2 Tahun 2024 di Kuala Lumpur Command Control Centre hari ini. Hadir sama, Anthony Loke, Dr Zaliha dan Nanta Linggi. FOTO Hazreen Mohamad

Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa itu mencadangkan supaya kerjasama antara agensi terutama PDRM dijalankan bagi mencari dana untuk pemasangan CCTV berkenaan.

Katanya, pembabitan PDRM dalam inisiatif ini penting berikutan ia dapat membantu proses siasatan pihak polis menerusi bukti yang mampu diperoleh melalui sistem CCTV terbabit.

"Kita belajar dari smart city (bandar pintar) dan safe city (bandar selamat) di negara lain dengan adanya CCTV pengecaman wajah berdefinisi tinggi (HD) kadar jenayah dan kemalangan dapat dikurangkan.

"Pemantauan dapat dijalankan tanpa mengusik hak-hak peribadi seseorang. Inilah langkah kepolisian moden yang perlu dilakukan bagi mengurangkan (keperluan) omnipresence pegawai unit beruniform di kawasan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 3:03 PM