ISAAC (tiga dari kiri) dan Sze Hui (tiga dari kanan) meraikan kejayaan di atas podium pada Piala Triatlon Remaja Asia 2024. FOTO Ihsan penganjur
ISAAC (tiga dari kiri) dan Sze Hui (tiga dari kanan) meraikan kejayaan di atas podium pada Piala Triatlon Remaja Asia 2024. FOTO Ihsan penganjur

Kampar: Isaac Tan dan Teo Sze Hui dinobatkan sebagai Juara Remaja Lelaki dan Wanita Kebangsaan selepas masing-masing muncul pelumba terpantas Malaysia pada Piala Remaja Triathlon Asia 2024, yang berlangsung di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) semalam.

Isaac dan Sze Hui mengibarkan cabaran negara dengan penuh

bersemangat dalam perlumbaan 'Lelaki Junior' dan 'Wanita Junior' masing-masing yang menampilkan barisan atlet remaja elit terbaik Asia yang berusia di antara 16-19.

Isaac, 19, berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok 20 terbaik

dengan menduduki tempat ke-19 daripada 72 peserta.

Dia melengkapkan saingan yang menggabungkan rutin berenang 750 meter (m) berbasikal 20 kilometer (km) dan berlari 5km dengan catatan 1 jam, 55 saat (s).

Gelaran juara menjadi milik Wong Ka Ho dari Hong Kong selepas dia

menjadi pelumba pertama tiba di garis penamat dengan masa 58:48.13s mengatasi pencabar terdekatnya Kuanysh Bekenov dari Kazakhstan (59:01s).

Anson Wong melengkapkan hari gemilang untuk Hong Kong dengan

melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga selepas merekodkan 59:15s.

Dalam aksi wanita yang tidak kurang hebatnya, Teo Sze Hui meraih

kedudukan 10 terbaik selepas menamatkan perlumbaan di tempat

kesembilan dengan catatan 1:11:53.

Jaguh Filipina Kira Ellis berada pada kelas tersendiri, menyaksikan dia muncul juara dengan jurang lebih dua minit.

Dia merekodkan 1:05:32s, diikuti wakil Korea Selatan Park Seo-eun (1:07:42s) dan Diana Biktimirova dari Uzbekistan (1:07:45s).

Walaupun merasakan dia mampu melakukan dengan lebih baik, Isaac tetap berasa gembira kerana berjaya mengekalkan statusnya selaku pelumba terbaik negara.

"Ini kejuaraan remaja sulung untuk saya dan gelaran

kebangsaan ketiga secara keseluruhannya. Sebelum ini saya menjadi juara kebangsaan di Kota Kinabalu tahun lalu dan Putrajaya pada Februari ini (diadakan bersempena dua pusingan sirkit Piala Triathlon Asia), kata Isaac.

"Aksi kali ini tidak begitu ideal kerana saya masih cuba menyesuaikan diri dengan program latihan yang digubah baru-baru ini. Saya sedang membuat persiapan untuk menghadapi Kejohanan Asia di Arab Saudi pada Disember ini, mudah-mudahan prestasi saya akan dapat ditingkatkan dalam beberapa bulan akan datang."

Bagi Sze Hui pula, dia berasa puas hati untuk kembali dengan rentak kemenangan selepas ditimpa kecederaan yang memaksanya untuk berehat selama enam bulan.

"Semestinya amat gembira. Ini perlumbaan kompetitif pertama dalam enam bulan selepas terbabit dalam kemalangan ketika berbasikal dan mengalami retak tulang.

"Keputusan ini pasti penting kerana saya berhasrat untuk mewakili negara pada Sukan Sea tahun depan. Saya akan cuba bersaing untuk menempatkan diri sebagai antara pelumba terbaik, ada beberapa lagi atlet senior yang saya perlu atasi. Disebabkan had umur, segelintir mereka tidak dapat bersaing kali ini," kata Sze Hui.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 3:09 PM