SRG mencipta sejarah dengan menjuarai MLBB 2024 di Riyadh, Arab Saudi.  FOTO MPL Malaysia
SRG mencipta sejarah dengan menjuarai MLBB 2024 di Riyadh, Arab Saudi. FOTO MPL Malaysia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Banyak ranjau dan laluan berliku perlu ditempuhi sebelum berjaya bergelar juara dan Selangor Red Giants (SRG) kini berjaya menutup mulut pengkritik e-Sukan yang sebelum ini memperlekehkan kemampuan mereka.

SRG menamatkan kemarau tujuh tahun menjuarai aksi antarabangsa selepas mengungguli acara Grand Final di kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 di Arab Saudi untuk membawa pulang wang tunai berjumlah USD1,000,000 (RM4,669,303.78).

Wang kemenangan itu satu jumlah yang besar namun ia berbaloi dengan usaha dan pengorbanan dilakukan semua barisan pemainnya.

Bagi pemain jungler SRG Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul atau lebih dikenali Sekyss yang dinobatkan sebagai pemain paling bernilai MSC MLBB 2024, dia sendiri tidak menjangka akan berjaya muncul juara dan meraih hadiah wang kemenangan yang besar itu.

Apa yang penting, Sekyss berkata, SRC berjaya menutup mulut pengkritik yang sebelum ini melabelkan SRC sebagai 'easy server'.

"Kami berjaya menutup mulut pengkritik atau netizen yang sebelum ini melabelkan kami sebagai 'eazy server' atau pelengkap slot tapi kini tidak lagi. Hari ini kami buktikan Malaysia mempunyai potensi besar di peringkat antarabangsa," katanya.

Mengulas mengenai perancangannya selepas meraih hadiah wang kemenangan lumayan, Sekyss berkata, dia masih belum memikirkan tindakan selanjutnya.

"Bagi saya, saya masih belum ada perancangan dengan wang hadiah kemenangan itu kerana saya sendiri tidak menjangka akan dapat memenangi hadiah wang yang banyak ini.

"Duit kemenangan mungkin saya akan fokus untuk simpan kerana saya masih muda dan nak bantu keluarga terlebih dahulu," katanya.

Terdahulu pada aksi final di Amazon Arena Riyadh, SRC dinobatkan sebagai juara selepas menumbangkan Filipina Falcons AP Bren Sport yang juga juara bertahan 4-3.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 3:25 PM