LIM (tengah) pada sidang media Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia (PPHM) di Petaling Jaya, hari ini. FOTO Rohanis Shukri
LIM (tengah) pada sidang media Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia (PPHM) di Petaling Jaya, hari ini. FOTO Rohanis Shukri
Nur Amira Mohd Hedzer


Petaling Jaya: Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia (PPHM) menjangkakan penyertaan kira-kira 3,500 delegasi, termasuk peserta tempatan dan antarabangsa di Konvensyen Dunia Fujian Ke-11 yang berlangsung pada 7 hingga 9 November 2024, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Konvensyen ini juga menjangkakan penyertaan lebih 20 negara dari Amerika Syarikat (AS), Kanada, Eropah, Australia, New Zealand, China, Hong Kong, Macau, Jepun, Taiwan serta negara Asean termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja.

Selain itu, konvensyen dijangka menarik kira-kira 2,000 penyertaan daripada wakil dan organisasi Fujian tempatan.

Presiden PPHM, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, dengan penyertaan peserta antarabangsa ke Malaysia, ia dijangka akan memberi sumbangan dan manfaat ekonomi yang besar merentasi pelbagai sektor seperti pelancongan, hospitaliti dan industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

"Sektor seperti pengangkutan, makanan, membeli-belah serta kerjasama antara pelaburan perniagaan dan pertukaran budaya akan memperkukuhkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Kami mengalu-alukan kedatangan semua masyarakat Fujian di seluruh dunia untuk menyertai kami di konvensyen ini untuk berkongsi serta merancang pembangunan masa depan, di samping menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Malaysia," katanya semasa sidang media PPHM di sini, hari ini.

Hock San berkata, acara ini bertujuan untuk memperkukuhkan ikatan kekeluargaan, mempromosikan pembangunan bersama, membina hubungan kerjasama erat di samping pertukaran idea dan buah fikiran dalam kalangan komuniti Fujian dari luar negara.

"Konvensyen kali ini bukan sahaja mengumpulkan komuniti Fujian untuk membincangkan hubungan mereka tetapi juga membawa manfaat ekonomi langsung kepada negara.

"Selari dengan inisiatif konsep Malaysia Madani, acara ini menekankan komitmen PPHM untuk memahami dan menerima kepelbagaian agama, budaya serta adat resam bagi memupuk perpaduan di samping mempromosikan hubungan harmoni," katanya.

Lim berkata, dengan mempromosikan kerjasama perniagaan dan meningkatkan imej antarabangsa, konvensyen ini juga akan menyuntik daya hidup dan momentum baharu ke dalam ekonomi Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, pameran koridor budaya juga akan dianjurkan bagi menyediakan peluang menarik dan interaktif untuk peserta serta tetamu.

"Penganjuran tahun ini istimewa kerana ia menandakan ulang tahun ke-30 konvensyen, selain ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

"Sepanjang lima dekad ini, Malaysia dan China mencapai kemajuan yang luar biasa dalam kerjasama ekonomi, budaya dan pendidikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 3:24 PM