LOKASI kejadian mangsa yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik. FOTO ihsan polis
LOKASI kejadian mangsa yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik. FOTO ihsan polis
Roselan Ab Malek


Lipis: Pembantu operasi Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Betong, dekat sini, maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika membuat kerja pencucian di struktur loji di Kampung Bukit Betong dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa, Roslan Ngah, 57, membaiki injap yang rosak sebelum dipercayai terkena renjatan elektrik dan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, polis menerima panggilan daripada pembantu perubatan Klinik Kesihatan Bukit Betong mengenai mangsa yang meninggal dunia di LRA Bukit Bentong akibat terkena renjatan elektrik.

"Dua anggota ke kawasan Loji Air Bukit Betong berasaskan aduan.

"Polis dimaklumkan ketika kejadian mangsa bersama seorang rakannya berada di dalam loji untuk menjalankan kerja pencucian dan tiba-tiba terkena renjatan elektrik yang dipercayai mengalir di dalam air," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azli berkata, rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala pekerja lain yang menyaksikan kejadian segera mematikan suis utama elektrik.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan Bukit Betong dan mayat dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 4:34 PM