GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Bayi perempuan berusia setahun empat bulan melecur di belakang badan selepas terkena seterika wap di kediaman mereka di Ara Damansara, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang bermain dengan sepupunya berusia setahun, di rumah.

Menurutnya, sepupunya mengusik mangsa sehingga menangis dan ketika itu kakak sepupunya berusia 11 tahun sedang menggosok baju menggunakan seterika jenis wap air.

"Kakak sepupunya kemudian memujuk mangsa dengan memeluknya sambil memegang seterika kerana bimbang terjatuh.

"Adiknya datang dan seterika terkena pada bahagian belakang badan mangsa.

"Mangsa kemudian dibawa ke hospital dan dalam keadaan baik," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan lima penghuni rumah sudah dirakam percakapan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 3:19 PM