Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sebuah syarikat pembinaan didenda RM38,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas dua pertuduhan gagal memastikan keselamatan di tempat kerja sehingga menyebabkan pekerjanya maut, dua tahun lalu.

Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman itu selepas Syarikat Rantau Urusan (M) Sdn Bhd diwakili Pengarahnya, Lee Wei Jin, 38, mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama, Wei Jin selaku majikan didakwa gagal dengan serta-merta memberitahu pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak yang terdekat dengan cara yang paling cepat, mengenai kemalangan pekerja di bawah kawalannya iaitu Zaffor seorang warga Bangldesh yang mengalami kecederaan serius pada badan semasa sedang bekerja pada 28 Disember 2019.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh gagal memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja; terhadap Zaffor iaitu gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja mengalihkan 'rubbish chute' di Blok D sehingga menyebabkan kemalangan ke atas pekerja warga Bangladesh itu.

Kedua-kedua kesalahan itu dilakukan di Lot PT2718, Bandar Seri Iskandar, di daerah Perak Tengah kira-kira 8.15 pagi.

Syarikat berkenaan dituduh mengikut Peraturan 5(1)(b)(aa) Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994, selain mengikut Seksyen 15(1) akta sama bagi pertuduhan kedua.

Kesalahan bagi pertuduhan pertama memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, manakala kesalahan bagi pertuduhan kedua pula memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Norashima menetapkan tertuduh didenda RM3,000 bagi pertuduhan pertama serta RM35,000 bagi pertuduhan kedua, selain menetapkan tertuduh dipenjara empat bulan untuk setiap pertuduhan jika gagal membayar denda yang dikenakan.

Lee Wei Jin (kanan) ketika masuk semula ke kamar perbicaraan Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini selepas selesai membayar denda yang dikenakan. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Lee Wei Jin (kanan) ketika masuk semula ke kamar perbicaraan Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini selepas selesai membayar denda yang dikenakan. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Perak, Norissham Ishak manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Tertuduh kemudiannya membayar denda yang dikenakan.

Sementara itu di mahkamah sama, dua lagi syarikat iaitu syarikat kilang papan dan syarikat pembekal bahan binaan masing-masing didenda RM25,000 atas kesalahan melanggar Seksyen 15 Akta Kilang dan Jentera 1967 hingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan kepada pekerjanya.

Syarikat Tan Chee Seng Sawmill Sdn Bhd yang diwakili Pengarahnya, Tan Taik Chin, 54, serta syarikat Hume Cemboard Industries Sdn Bhd yang juga diwakili Pengurus Besarnya, K Muralitharan, 48, masing-masing mengaku bersalah dengan kedua-duanya tidak diwakili peguam.

Hakim menetapkan kedua-dua tertuduh masing-masing dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda yang dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 3:41 PM