FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Norzamira Che Noh


Klang: Seorang pekerja sebuah syarikat penyelenggaraan kapal di Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini, maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik Jumaat lalu.

Susulan kemalangan itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat menjalankan siasatan selepas menerima maklumat.

JKKP Selangor memaklumkan tadi, dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa yang maut adalah seorang pekerja lelaki warga tempatan berusia 21 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa ditugaskan membuat kerja pembaikan lampu pendarfluor sementara di kawasan serombong ekzos dalam kapal yang perlu diselenggara bersama rakannya.

"Semasa menukar lampu, rakan mangsa mendengar mangsa mengerang kesakitan dan terduduk di atas platform.

"Ketika ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, rakannya cuba memegang mangsa. Bagaimanapun tindakannya gagal dan mangsa terjatuh ke platform bawah pada ketinggian 2.88 meter.

"Mangsa dibawa keluar dari kapal dan diberi bantuan pernafasan sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan disahkan meninggal dunia di hospital," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, JKKP Selangor sudah mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu tempat kejadian kepada pihak majikan.

Katanya, Notis Larangan serta-merta juga dikeluarkan bagi kegagalan pihak majikan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi proses kerja pembaikan lampu di atas kapal sehingga menyebabkan kemalangan maut.

"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan berkenaan.

"JKKP Selangor akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 4:41 PM