LELAKI OKU ditemui meninggal dunia di pencawang elektrik kira-kira 350 meter dari rumah mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
LELAKI OKU ditemui meninggal dunia di pencawang elektrik kira-kira 350 meter dari rumah mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Juwan Riduan


Kinabatangan: Lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaporkan hilang di kawasan Kampung Lot M, di sini, sejak Sabtu lalu ditemukan meninggal dunia dipercayai terjatuh dari pencawang elektrik, hari ini.

Mayat Khairil Anuar Mustapa, 31, ditemui oleh orang awam kira-kira 350 meter dari rumah mangsa pada 10.52 pagi.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Riki Mohan Singh Ramday berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mangsa dipercayai terjatuh dari pencawang elektrik dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang sejak 13 Julai lalu ketika hendak menuju ke kedai milik neneknya di Kampung Lot M, di sini.

Pasukan bomba yang menerima laporan segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 2:41 PM