ADNAN Mat (dua kanan) beramah mesra dengan peserta program pada Majlis Penutup Kursus Kepimpinan Dalam Kesatuan Sekerja dan Penyampaian Sijil, di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
ADNAN Mat (dua kanan) beramah mesra dengan peserta program pada Majlis Penutup Kursus Kepimpinan Dalam Kesatuan Sekerja dan Penyampaian Sijil, di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Kerajaan diminta mempercepatkan pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang baharu berikutan tekanan terhadap peningkatan kos sara hidup akibat pandemik Covid-19.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata, sistem sedia ada yang berusia hampir 20 tahun sudah tidak relevan dengan tangga gaji minimum iaitu RM1,200 sebulan.

"Sistem saraan baharu perlu diwujudkan bagi menampung keperluan penjawat awam supaya tangga gaji selesa setimpal dengan perbelanjaan harian, selain gaji minimum perlu berubah susulan harga barangan meningkat berkali-kali.

"Cadangan gaji minimum RM1,800 ini bertepatan dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menyasarkan negara berpendapatan tinggi dan pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

"Gaji permulaan sektor kerajaan RM1,200 sebulan pada masa ini tanpa mengambil kira lain-lain elaun jauh di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208," katanya ditemui selepas Majlis Penutup Kursus Kepimpinan Dalam Kesatuan Sekerja dan Penyampaian Sijil di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, kerajaan bersetuju satu kajian dibuat untuk menentukan struktur baharu saraan perkhidmatan awam bagi menggantikan SSM yang dilaksanakan sejak 2002.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, kajian perlu mengambil kira faktor-faktor berkaitan, antaranya paras PGK 2019 serta dasar semasa.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima aduan berhubung kakitangan awam yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

"Penjawat awam harus divaksin dalam memberi keselesaan terhadap persekitaran pekerja, selain Cuepacs bersetuju dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya mengambil tindakan terhadap kakitangan yang tidak mahu mengambil suntikan.

"Ketua JPA masing-masing disarankan memanggil mereka yang berkaitan, jika didapati tidak boleh divaksin, dapatkan surat pengesahan daripada pengamal perubatan, namun jika enggan tanpa alasan munasabah, adakan perjumpaan seperti sesi kaunseling lanjutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 5:35 PM