Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kerajaan sedang mengkaji sistem saraan baharu bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan sejak 2002.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pihaknya sedang meneliti perkara itu bagi memastikan sistem saraan baharu yang diwujudkan memberi manfaat kepada penjawat awam di seluruh negara.

"Kita sedang meneliti apa yang disebutkan oleh pihak CUEPACS (Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam) (namun ia) tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan.

"Kerajaan akan memberi perhatian (mengenai perkara ini) tetapi saya tak boleh jawab bila sebab kita masih dalam peringkat kajian dan Jawatankuasa Pembaharuan Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan meneliti perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis Sign-Off Pembangunan Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) Terengganu dan Agensi Di Bawahnya 2021-2025 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Ketika ditanya bila sistem saraan baharu akan diwujudkan, Mohd Zuki berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah membuat kajian dan melantik konsultan.

Katanya, kerajaan sedang menunggu maklum balas daripada pihak konsultan berhubung perkara berkenaan.

Sebelum ini, CUEPACS mencadangkan supaya sistem saraan baharu dilaksanakan susulan penetapan gaji minimum penjawat awam yang digunakan ketika ini berada di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Presidennya, Adnan Mat dipetik sebagai berkata, ketika ini kerajaan masih mengekalkan SSM yang ditambah baik selepas melalui beberapa siri pemansuhan antaranya Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1992 dan Jawatankuasa Gaji Kabinet pada 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 6:53 PM
Mohd Zuki (dua dari kanan) selepas majlis Sign-Off Pembangunan Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) Terengganu dan Agensi Di Bawahnya 2021-2025 di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, hari ini. Foto Ghazali Kori
Mohd Zuki (dua dari kanan) selepas majlis Sign-Off Pembangunan Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) Terengganu dan Agensi Di Bawahnya 2021-2025 di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, hari ini. Foto Ghazali Kori