ADNAN Mat (kiri) ketika menyantuni petugas barisan hadapan dan sukarelawan di PPV, UiTM Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
ADNAN Mat (kiri) ketika menyantuni petugas barisan hadapan dan sukarelawan di PPV, UiTM Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Alor Gajah: Menjelang pembentangan Bajet 2022 pada Oktober depan, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan melihat semula Sistem Saraan (SS) ketika ini.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, ia bermula dengan Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1992 diikuti Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 2002 serta Sistem Baharu Perkhidmatan Awam pada 2012.

"Setiap 10 tahun ada SS (SS), justeru itu Cuepacs memohon kerajaan memperuntukkan kepada penjawat awam bagi melaksanakan sistem baharu yang dicadangkan.

"Cadangan sistem berkenaan sudah dibawa kepada kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam, tetapi setakat ini, tidak pasti sejauh mana perkembangan mengenai cadangan itu.

"Apa yang pasti, ia melangkaui gaji minimum berikutan kerajaan menetapkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sebanyak RM2,208, justeru sekurang-kurangnya gaji minimum pendapatan awam termasuk elaun melepasi angka berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyantuni petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya mengadakan lawatan ke PPV di seluruh negara termasuk di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah sebagai tanda terima kasih kepada petugas yang berkorban dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

Katanya, lawatan itu bertujuan meninjau perkembangan semasa, memberi sokongan moral dan semangat kepada petugas dalam kalangan penjawat awam dan sukarelawan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 3:32 PM