GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan walaupun bersifat sementara namun kesediaan kerajaan memberi insentif RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah pada Februari tahun depan sebagai terbaik.

Presiden Cuepacs, Datuk Dr Adnan Mat berkata, ia insentif terbaik seumpamanya sepanjang tempoh 10 tahun yang lalu kerana sebelum ini bayaran insentif di sekitar RM500 atau RM600 dan paling tinggi RM700.

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan semasa pembentangan Belanjawan 2024 mengumumkan Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 yang akan diberikan kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan ke bawah sementara Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dilengkapkan.

Adnan berkata, mereka yang mendapat manfaat dianggarkan seramai 1.45 juta.

"Jumlah RM2,000 ini bermaksud kumpulan terkebawah dan masih dibelenggu dengan kos sara hidup seumpama mendapat sebulan setengah gaji kerana kita masih ada lagi kumpulan gaji RM1,200.

"Bagi kumpulan terkebawah ianya sudah dianggap mendapat insentif melangkaui sebulan gaji atau pun sebahagiannya sebulan setengah gaji, dah cukup baik dah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, jadual pembayaran insentif itu menjelang Februari tahun depan juga tepat pada masanya bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang Ramadan dan Syawal.

Adnan berkata, memang Cuepacs mengharapkan ada pengumuman kenaikan gaji dalam kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) semasa pembentangan belanjawan semalam.

"Walaupun ianya tidak berlaku, Cuepacs tetap berterima kasih kerana jumlah RM2,000 mampu untuk kelegaan berdasarkan situasi ekonomi semasa.

"Insentif diumumkan kali ini adalah bersifat sementara dan sudah pastilah sistem saraan akan datang perlunya bersifat kenaikan gaji, itu yang kami harapkan," katanya.

Laporan media memetik, antara cadangan Cuepacs sebelum pembentangan belanjawan semalam ialah menaikkan gaji penjawat awam sebanyak RM300, bonus minimum satu bulan setengah yang kali terakhir diterima pada 2012 dan selepas itu hanya diberikan bantuan khas kewangan.

Diskaun sekurang-kurangnya 30 peratus bagi pembayaran cukai pendapatan kepada semua penjawat awam dan meningkatkan jumlah pengiraan pencen kepada jumlah tahun perkhidmatan hingga 35 tahun bagi memaksimumkan pencen bakal diterima penjawat awam.

Cuepacs menyifatkan ia antara permohonan sangat wajar bagi membantu penjawat awam menghadapi peningkatan kos sara hidup semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 12:25 PM