GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan untuk meneruskan pembayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) serta tambahan khas dalam bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) jelas membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan pentadbiran negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berpendapat pada masa sama kerajaan harus melihat kepada pelbagai lagi inisiatif yang perlu dilaksanakan dari segi kebajikan dan penambahbaikan skim perkhidmatan penjawat awam.

"Cuepacs baru sahaja selesai mengadakan konvensyen tritahunan pada 17 hingga 19 Disember lalu dan banyak resolusi berkaitan kebajikan dan penambahbaikan skim perkhidmatan penjawat awam telah dicapai sepanjang konvensyen diadakan.

"Isu utama yang dibangkitkan oleh perwakilan adalah mengenai sistem saraan perkhidmatan awam yang sudah ketinggalan dan tidak sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa.

"Perwakilan juga berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk kerajaan menetapkan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 sebulan berbanding RM1,200 sebulan ketika ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata, Cuepacs sudah mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan satu sesi perjumpaan bersama pemimpin utama negara itu bagi membincangkan isu-isu membabitkan penjawat awam yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Pihaknya turut berharap agar hasil pertemuan itu nanti dapat memberikan gambaran sebenar kepada kerajaan mengenai tuntutan yang dimohon oleh Cuepacs dan penjawat awam.

Pada sidang khas Parlimen pagi tadi, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian KGT Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam gred 11 hingga 56 dan BKK sebanyak RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah dan sebanyak RM350 kepada satu juta pesara kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 6:38 PM