ADNAN Mat, ketika menghadiri Majlis Solidariti CUEPACS Zon Timur Bersama Presiden CUEPACS Malaysia. FOTO Nazdy Harun
ADNAN Mat, ketika menghadiri Majlis Solidariti CUEPACS Zon Timur Bersama Presiden CUEPACS Malaysia. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Nerus: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan segera memperkenalkan kadar gaji minimum yang lebih baik kepada penjawat awam.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, langkah itu untuk memastikan penjawat awam bagi penjawatan akan datang mampu bertahan dengan keputusan pemansuhan pencen yang diumum kerajaan.

Menurutnya, hasrat kerajaan memansuhkan skim saraan tidak akan menjadi masalah jika kerajaan turut memperkenalkan kadar gaji minimum yang lebih baik untuk dinikmati penjawat awam.

Katanya, tidak adil kakitangan awam dianggap sebagai beban negara sedangkan golongan itu hanya hidup ala kadar dengan gaji sedia ada, ditambah dengan isu kos sara hidup yang terus meningkat naik.

"Dengan gaji yang kecil, kami tidak mampu menyediakan lebih kemudahan kepada tanggungan dari segi perumahan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan atau belanja harian.

"Sebab itu kami tolak apabila kerajaan mahu mansuhkan skim saraan, isunya kenapa mansuh ketika kadar gaji penjawat awam masih rendah dan tidak mampu senangkan keluarga sebelum bersara," katanya pada sidang media selepas Majlis Solidariti Cuepacs Zon Timur Bersama Presiden Cuepacs, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, Cuepacs sudah memohon kerajaan mempercepatkan kenaikan gaji tanpa menunggu kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) selesai dan dibentang untuk Bajet 2025.

Menurutnya lagi, Cuepacs juga kecewa dengan pengumuman kerajaan mengenai pemansuhan pencen yang dibuat tanpa kajian bersama sekali gus dibimbangi menjadikan sektor perkhidmatan awam pada masa akan datang tiada sambutan.

"Kami berharap masih ada ruang perbincangan dengan kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mencari kaedah terbaik seterusnya menjamin kualiti perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 11:53 AM