PRESIDEN CUEPACS Adnan Mat bersama sebahagian ketua jabatan dan wakil barisan hadapan. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING
PRESIDEN CUEPACS Adnan Mat bersama sebahagian ketua jabatan dan wakil barisan hadapan. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING
Abdul Rahemang Taiming


KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam peringkat akhir mengemukakan cadangan sistem saraan baharu bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Presidennya Adnan Mat berkata, ketika ini kerajaan masih mengekalkan SSM yang ditambah baik selepas melalui beberapa siri pemansuhan antaranya Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1992.

Beliau berkata, antara cadangan yang dikemukakan menerusi sistem saraan baharu itu adalah berkaitan penetapan gaji minimum penjawat awam yang ketika ini masih berada di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Menurutnya, ketika ini gaji permulaan penjawat awam adalah sebanyak RM1,200 tidak termasuk Bantuan Sara Hidup (COLA), elaun wilayah dan lain-lain namun masih berada di bawah PGK negara yang ditetapkan pada kadar RM2,208.

"Sehubungan itu, kongres baru-baru ini memutuskan supaya dibentuk satu sistem saraan baharu selain cadangan gaji minimum penjawat awam yang melangkaui PGK.

"Rundingan dibuat dengan kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberikan maklum balas termasuk penambahbaikan dan cadangan yang akan dikemukakan semula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Penghargaan CUEPACS kepada petugas barisan hadapan Covid-19 peringkat daerah Tawau anjuran Sabah Medical Service Union (SMSU) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Tawau, hari ini.

Dalam pada itu, Adnan turut mengulangi gesaan supaya kerajaan menunaikan janji dengan melaksanakan lima tuntutan yang dibuat pihaknya sebelum ini.

Antaranya ialah kenaikan gaji berkuatkuasa 1 Julai 2018, pemendekan kenaikan pangkat 'time based' kali kedua yang dikurangkan dari 13 tahun kepada 10 tahun yang berkuatkuasa 1 Januari 2018.

Selain itu, pengumuman gaji tambahan kepada guru gred DG56 serta penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari boleh ditukar kepada wang tunai bagi yang sudah berkhidmat lebih daripada 15 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 6:13 PM