NAIMAT (kiri) melihat tangan isterinya, yang menghidap masalah buah pinggang rosak ketika ditemui di rumahnya di Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
NAIMAT (kiri) melihat tangan isterinya, yang menghidap masalah buah pinggang rosak ketika ditemui di rumahnya di Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: "Sudah lebih 10 tahun kami sekeluarga bergantung kepada air perigi kerana tidak mampu membayar bil bekalan air yang tertunggak lebih RM4,000," ujar Zalifah Ibrahim, 48, ketika ditemui di rumahnya Batu 2, Belakang Petron, di sini, semalam.

Menurutnya, dia mengalami masalah komplikasi buah pinggang kronik selain sebelah mata tidak mampu melihat dengan jelas.

"Akibatnya saya kini bergantung kepada suami, Naimat Hamzah, 75, yang juga menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

"Lebih memburukkan keadaan apabila saya perlu membuat tiga kali rawatan dialisis dengan kos dibayar oleh Baitulmal dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pusat dialisis di Rantau di sini, tadi.

"Mujur saya turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan yang banyak digunakan untuk perubatan sahaja," katanya selepas menerima sumbangan daripada Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9), Norfadilah Mansor di sini, semalam.

Zalifah berkata, dua anak lelakinya berusia 15 dan 22 tahun hanya melakukan kerja kampung yang hanya cukup untuk menampung hidup masing-masing.

"Nasib baik rumah ini adalah peninggalan orang tua namun kami tetap tidak mampu membayar bil air kerana kebanyakan wang bantuan dihabiskan untuk kos rawatan," katanya.

Sementara itu Naimat berkata, dia mengambil keputusan berkahwin dengan isteri tiga tahun lalu kerana kasihankan wanita itu yang memerlukan 'teman' terutama ketika dia sakit.

"Cuma saya berharap dapat menyambung kembali bekalan air paip ke rumah ini sejak dipotong lebih 10 tahun lalu dan bil tertunggak hampir RM4,000.

"Air perigi yang kami gunakan hanya sesuai mandi sahaja bukan untuk minum dan memasak kerana bimbang kebersihannya," katanya.

Sementara itu, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya sedang berunding dengan pelbagai pihak terutama Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) untuk kos menyambung kembali paip air untuk keluarga ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 5:39 PM