NUR KASIH (kanan) memberi ayah ubat ketika ditemui di rumahnya di Taman Rasah Jaya, Rasah. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
NUR KASIH (kanan) memberi ayah ubat ketika ditemui di rumahnya di Taman Rasah Jaya, Rasah. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Rasah: "Hanya saya harapan ibu untuk menjaga ayah yang terlantar sakit. Ibu pula perlu keluar bekerja mencari nafkah," kata Nur Kasih Azman, 11, ketika ditemui di rumahnya di Taman Rasah Jaya, di sini, hari ini.

Ia berikutan sejak tiga bulan lalu, bapanya, Azman Abd Kadir, 58, tidak lagi mampu melihat dengan jelas dan mengidap penyakit buah pinggang serta perlu menjalani rawatan dialisis.

"Ibu saya Siti Nor Esah Mat Ali, 36, bekerja di Perpustakaan Negeri terpaksa bekerja bagi mencari duit belanja kami sekeluarga sedangkan ayah tidak mampu berjalan sendiri akibat penyakitnya itu ditambah matanya semakin rosak teruk.

"Saya terpaksa bercuti dari sekolah kerana ayah tidak boleh tinggal sendirian di rumah kerana dia pernah jatuh beberapa kali dan juga menghidap sakit jantung," kata murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Rasah Jaya ini.

Nur Kasih berkata, dia tidak pasti bila akan dapat kembali ke sekolah kerana kesihatan ayahnya semakin membimbangkan.

"Pihak sekolah hanya minta surat dan ibu sudah hantar ke sekolah kerana selama ini hanya ayah yang hantar saya ke sekolah.

"Rindu juga nak kembali ke sekolah berjumpa kawan-kawan tetapi ayah siapa nak jaga kerana saya anak tunggal," katanya.

Sementara itu Azman berkata, dia sebelum ini menjalankan perniagaan menjual serunding daging secara dalam talian.

"Sejak tiga bulan ini kami sekeluarga hanya bergantung kepada pendapatan isteri sebanyak RM1,800 sebulan. Kasihan juga kepada dia yang terpaksa berhempas pulas seorang kerana banyak perbelanjaan seperti sewa rumah, bil api dan air dan paling banyak bil perbuatan saya.

"Saya perlu membuat dialisis di Hospital Mawar tiga kali seminggu. Sekali buat dialisis memerlukan belanja RM140, belum termasuk belanja kereta sewa yang keseluruhannya berjumlah RM600 seminggu," katanya.

Menurutnya, pernah juga beberapa kali isterinya tidak dapat menghantarnya membuat dialisis kerana ketiadaan duit.

"Dengan baki duit yang tidak sampai RM1,000, mana cukup untuk membayar kos dialisis jadi kami tak pergilah. Terpaksa saya tanggung kesakitan.

"Isteri saya sendiri menghidap sakit jantung berlubang dan dia perlu makan ubat jika rasa sakit. Saya berharap mendapat perhatian dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) jika ada mencarum," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9), Norfadilah Mansor berkata, pihaknya dihubungi keluarga ini dan sudah menghulurkan sumbangan berupa barangan makanan dan wang tunai.

"Mereka tidak mempunyai kenderaan dan bergantung kepada kereta sewa untuk bergerak sama ada ke hospital atau ke tempat kerja.

"Mereka memerlukan kerusi roda dan juga katil boleh laras untuk kegunaan pesakit ini di rumah dan kami akan berusaha mencari dana bagi tujuan itu," katanya.

Bagi meringankan beban mereka, orang ramai boleh membantu menyalurkan sumbangan terus ke akaun pesakit Maybank 155078480509 (Azman Abd Kadir) atau menghubunginya, 012-9955847 (Siti Nor Esah).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 4:55 PM