ZABEDAH Isa, 62, ditemani cucunya, Nur Fitri Aida Azira Abdul Mutalib, 16, terpaksa menggunakan air perigi yang digali bagi mendapatkan bekalan air mentah selepas kawasan  FELDA Chini Timur 2, Pekan mengalami masalah gangguan bekalan air sejak sebulan lalu. FOTO Shahrinnahar Latib
ZABEDAH Isa, 62, ditemani cucunya, Nur Fitri Aida Azira Abdul Mutalib, 16, terpaksa menggunakan air perigi yang digali bagi mendapatkan bekalan air mentah selepas kawasan FELDA Chini Timur 2, Pekan mengalami masalah gangguan bekalan air sejak sebulan lalu. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib


MASALAH gangguan bekalan air bersih yang berlaku di sekitar gugusan FELDA Chini di Pekan, sejak bulan lalu memaksa penduduk menggunakan air perigi sebagai alternatif lain bagi mendapatkan bekalan air mentah untuk kegunaan harian.

Situasi itu berlaku akibat paras air Sungai Mentiga menjadi kering, sekali gus menyebabkan penyusutan mendadak terhadap paras bekalan di Loji Air Chini sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air kepada penduduk sekitar.

Ibu tunggal yang tinggal di FELDA Chini Timur 2 di sini, Zabedah Isa, 62, berkata, dia terpaksa menggali perigi sedalam tiga meter bagi mendapatkan bekalan air untuk kegunaan selepas bekalan air semakin meruncing bermula awal bulan ini.

“Sejak masalah ini berlaku, rumah kami jarang mendapat bekalan air paip jika ada pun hanya sekejap dan terlalu sedikit sehingga memaksa kami sekeluarga membeli air minuman dalam kuantiti yang banyak untuk kegunaan sekeluarga.

“Ini menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menggali perigi di belakang rumah. Walaupun air perigi itu agak keruh dan berlumpur, namun sekurang-kurangnya dapat menampung serba sedikit kegunaan air bagi kami semua ketika musim kemarau ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ibu kepada lapan orang anak itu berkata, dia mengambil masa selama hampir dua minggu untuk menggali perigi di belakang rumahnya sambil dibantu anak bongsu yang berusia 24 tahun.

“Biarpun Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) ada menghantar bekalan air bersih menggunakan lori tangki untuk kegunaan kami sekeluarga, namun tidak mencukupi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Roziah Ramli, 52, berkata, sehingga kini, lebih 10 karton air minuman sudah dibelinya sejak masalah gangguan bekalan air berlaku di sini.

“Saya tiada pilihan lain kena beli air minuman juga untuk digunakan di rumah. Jika harapkan PAIP hantar memang tidak mencukupi. Kadang-kadang ada juga air keluar daripada paip, namun terlalu kotor dan tidak sesuai untuk diminum,” katanya.

Suri rumah itu berkata, ketiadaan bekalan air bersih yang berlarutan lebih sebulan sejak kebelakangan ini menjadi bebanan yang besar kepada penduduk untuk melakukan aktiviti seharian.

“Justeru saya berharappihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah kami ini yang sudah berlarutan hampir sebulan... Memang sengsara tiada air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 11:05 AM