Seri Afriena Qaisara Amdin, 8, (kiri) dan Muhammad Tarfiq Iskandar Amdin, 4, ketika dirawat di hospital semalam. Seri Afrienna Qaisara dibenarkan pulang petang tadi. - Foto Fail
Seri Afriena Qaisara Amdin, 8, (kiri) dan Muhammad Tarfiq Iskandar Amdin, 4, ketika dirawat di hospital semalam. Seri Afrienna Qaisara dibenarkan pulang petang tadi. - Foto Fail
Gambar yang dirakam semalam, menunjukkan Muhammad Zulkarnain Mikail Amdin, 4, memeluk ibunya, Zalifah Hussin, 40, selepas kematian adiknya Muhammad Rusydi Rizky Amdin, 11 bulan. - Foto Fail
Gambar yang dirakam semalam, menunjukkan Muhammad Zulkarnain Mikail Amdin, 4, memeluk ibunya, Zalifah Hussin, 40, selepas kematian adiknya Muhammad Rusydi Rizky Amdin, 11 bulan. - Foto Fail
BERNAMA

Sungai Petani: Seorang daripada tiga beradik dari Flat Paya Nahu di sini, yang dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) akibat demam Ahad lalu, dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

Ibu mereka, Zalifah Hussin, 40, berkata Seri Afrienna Qaisara, 8, dibenarkan pulang kira-kira 2 petang tadi ketika dia ke hospital untuk melawat tiga beradik itu, manakala Muhammad Nazli, 19, dan Muhammad Taufiq Iskandar, 3, masih ditahan di wad.

"Mereka bertiga ditahan di wad selepas demam panas, muntah dan cirit-birit namun disahkan doktor hanya demam biasa, tiada jangkitan difteria.

"Muhammad Nazli dan Muhammad Taufiq Iskandar juga beransur sihat, tiada demam lagi namun belum dibenarkan pulang kerana perlu menunggu keputusan ujian darah, manakala Seri Afrienna Qaisara yang dibenarkan pulang, perlu menjalani pemeriksaan susulan pada 4 Ogos ini," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Zalifah berkata selepas tujuh daripada 14 anaknya disahkan dijangkiti difteria sebelum ini, pihak jabatan kesihatan menjadualkan semula suntikan imunisasi anak-anaknya.

"Kehilangan kedua-dua anak, saya terima dengan reda kerana itu ditetapkan Allah, namun ia menjadi peringatan kepada saya, jika ada anak-anak sakit, saya akan terus rujuk ke klinik atau hospital," katanya.

Anak bongsu Zalifah, Muhammad Rusydi Rizky, sebelum ini kritikal dipercayai akibat jangkitan difteria, namun dibenarkan keluar dari hospital Khamis lalu, tetapi meninggal dunia tiga hari selepas pulang ke rumah.

Kira-kira sebulan lalu, seorang lagi anak Zalifah, Muhammad Haris Haikal, 2, maut akibat dijangkiti difteria.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 10:09 PM