Peniaga kedai makan, Zainab Miros, 75, menunjukkan air yang keruh selepas  menggunakan telaga tiub ketika ditemui di Kampung Dewan Beta di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Peniaga kedai makan, Zainab Miros, 75, menunjukkan air yang keruh selepas menggunakan telaga tiub ketika ditemui di Kampung Dewan Beta di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Oleh Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Lebih 1,000 penduduk beberapa kampung di Dewan Beta, di sini buntu apabila air perigi dan air telaga tiub di rumah mereka kering sejak lebih sebulan lalu.

Penduduk mendakwa mereka terpaksa menggunakan air perigi dan telaga tiub lebih 10 tahun lalu disebabkan perkhidmatan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bermasalah, sedangkan perlu membayar bil air.

Mereka yang terbabit dari Kampung Atas Penggek, Kedai Piah, Bunut Satut, Stan, Bunut Susu, Masar dan beberapa kampung lain di Dewan Beta.

Peniaga kedai makan, Zainab Miros, 75, dari Kampung Atas Penggek berkata, air telaga tiub di kedainya kering hampir dua bulan lalu dan sudah tiga bulan tidak hujan.

Katanya, dia terpaksa meminta ihsan jiran untuk mendapatkan air dan anaknya turut menghantar bekalan ke rumah.

"Air telaga tiub yang dibuat sedalam 18 meter kering menyebabkan saya meminta belas ihsan jiran tetangga yang masih mempunyai air.

"Kami penduduk di sini menggunakan air telaga tiub atau perigi berikutan air AKSB tidak ada. Namun, sejak dua bulan lalu air mula kering," katanya ketika ditemui di sini.

Peniaga, Norazirawati Mohamad, 42, berkata, ketiadaan air menyebabkan kadang kala dua anaknya tidak ke sekolah, malah dia membeli air botol dengan kos lebih RM30 sehari untuk kegunaan mandi, memasak dan di kedai makan.

"Air ini sangat penting kerana ia adalah keperluan harian. Untuk meneruskan kehidupan, saya mengeluarkan wang untuk membeli air bagi kegunaan harian.

"Rumah saya selama ini menggunakan air perigi, namun ia sudah kering. Masalah ini berlaku di hampir kebanyakan rumah di sekitar Dewan Beta dan Salor," katanya.

Pemandu lori, Hashim Shafii, 52, dari Kampung Masar berkata, masalah air itu menyebabkan dia sekeluarga mengambil inisiatif berjimat.

"Tiga anak masih bersekolah, kadang-kadang mereka mandi dengan hanya menggunakan sebaldi air yang dikongsi bertiga," katanya.

"Kampung saya mempunyai 90 rumah dengan lebih 400 penduduk dan kebanyakan mereka tidak mempunyai air. Saya harap pihak bertanggungjawab turun padang untuk melihat masalah kami ini termasuk meletakkan tangki air statik bagi kemudahan kami," katanya.

Selain itu, peniaga kedai makan, Wan Samsiah Wan Musa, 56, memaklumkan rumahnya di Kampung Parit Air, Rantau Panjang tidak mempunyai air sejak lima bulan lalu.

Katanya, walaupun tiada air, tetapi bil bulanan tetap tinggi iaitu lebih RM80 sebulan.

"Saya hairan kerana bil yang dikenakan tinggi walaupun air tidak ada langsung sejak lima bulan lalu.

"Disebabkan tiada air, saya terpaksa menggali telaga tiub dengan kos lebih RM5,000 termasuk enjin dan sistem sejak lima bulan lalu untuk kegunaan rumah dan juga kedai makan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 3:20 PM