Mohd Khidir Zakaria

“SYUKUR kerana dengan bantuan Harian Metro yang mendedahkan kisah saya, hari ini masalah saya selesai apabila menerima bantuan RM2,000 daripada hamba Allah yang disampaikan melalui PERKASIH,” kata ibu tunggal yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah, 51.

Dia menerima sumbangan itu yang disampaikan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9), Norfadilah Mansor di Seremban, hari ini.

Katanya, dia yang sudah puas dia mengadu kepada banyak pihak tetapi tidak ada jalan penyelesaian itu berterima kasih apabila penderitaannya yang disiarkan semalam mendapat perhatian penyumbang hamba Allah enggan dikenali.

"Hanya Allah yang dapat membalas jasa mereka yang membantu selesaikan hutang saya sejak setahun lalu.

"Kini saya lega kerana masalah hutang ceti sudah selesai dan bolehlah saya menumpukan perhatian pada perkara lain pula," katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 23 yang baru habis belajar di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah ibu tunggal yang menderita selepas meminjam wang sebanyak RM2,000 daripada Syarikat Pinjaman Wang Berlesen untuk menyelesaikan hutang perumahan yang tertunggak. Dia hanya mampu membayar faedahnya RM200 sebulan tanpa dan dalam masa yang sama kad banknya dipegang 'ah long' sehingga hutangnya selesai.

Sementara itu, Norfadilah berkata, penderma itu menghubunginya memaklumkan ada memasukkan wang sebanyak RM2,000 ke dalam akaun PERKASIH N9 bagi membayar hutang pinjamannya itu.

"Kami gembira dan turut bersyukur kerana ada insan berhati mulia yang sudi membantu ibu tunggal ini menyelesaikan hutang ceti. Bagaimanapun, wanita ini masih memerlukan bantuan untuk menyelesaikan tunggakan rumah tiga bulan serta tunggakan bil utiliti yang perlu dijelaskan," katanya ketika ditemui.

Katanya, PERKASIH N9 akan membayar terus kepada Syarikat Kewangan Berlesen itu dengan membawa ibu tunggal ini kerana bimbangkan keselamatannya pada esok hari dan mengambil kembali kad bank yang dipegang syarikat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 5:27 PM