Naimat (kiri) menunjukkan kepada (tengah) air paip yang sudah ada dirumahnya. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Naimat (kiri) menunjukkan kepada (tengah) air paip yang sudah ada dirumahnya. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Selepas lebih 10 tahun hanya mandi air perigi, akhirnya hajat suami isteri uzur untuk menikmati kemudahan air paip dapat dirasai.

Naimat Hamzah, 75, mengakui bersyukur kerana selepas kisahnya disiarkan dalam Harian Metro pada 8 September lalu, pelbagai pihak menaja kos penyambungan air paip ke rumahnya di Batu 2, di sini.

Katanya, dia menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi, manakala isterinya, Zalipah Ibrahim, 49, mengalami masalah komplikasi buah pinggang kronik selain sebelah mata tidak mampu melihat dengan jelas.

"Isteri saya sekarang berada di Hospital Port Dickson kerana menghadapi masalah kesihatan teruk dan pada masa sama perlu membuat tiga kali rawatan dialisis dengan kos dibayar Baitulmal dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Terima kasih kepada pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Baitumal Negeri Sembilan, Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) dan Penghulu Mukim Port Dickson, Jamsari Mohamad yang banyak membantu," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Naimat berkata, mereka hanya bergantung kepada bantuan RM250 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tidak mampu menanggung kos penyambungan paip air ke rumah.

Katanya, seperti mimpi apabila mereka kini mampu mandi tiga kali sehari dan dapat memasak dengan mudah kerana sudah lama tidak merasai kemudahan asas penting ini.

"Sebaik kisah kesukaran kami disiarkan, pelbagai pihak datang menyumbang dan pemasangan saluran paip terus ke rumah kami dilaksanakan pihak berkaitan.

"Alhamdulillah, dapatlah kami merasa hidup seperti orang lain biarpun dalam keadaan serba kekurangan, terima kasih semua yang membantu," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, sebaik dimaklumkan Jamsari mengenai masalah pasangan itu, pihaknya terus menghubungi agensi berkaitan.

Beliau berkata, Baitulmal bersedia membayar tunggakan hampir RM4,000, Sains membuat kerja pemasangan paip dan pihaknya mengeluarkan modal kerja paip berjumlah RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 4:11 PM