Zaid Salim


Kuala Nerus: Kerajaan negeri akan memasang alat kawalan pam Variable Frequency Drive (VFD) sebagai alternatif menyelesaikan krisis air di daerah ini yang dijangka siap pertengahan September.

Difahamkan alat yang didatangkan dari China itu sudah tiba di Pelabuhan Klang, Selangor dan kini dalam proses dokumentasi sebelum dibawa ke negeri ini, Selasa ini.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat, berkata, pihaknya menjangkakan masalah air di seluruh daerah ini dan sebahagian di Kuala Terengganu akan selesai pertengahan bulan depan.

"Kerja pemasangan alat berkenaan dijangka bermula sebaik alat itu tiba pada 31 Ogos ini dan kerja pemasangan mengambil masa selama 15 hari untuk siap.

"Jadi, saya masalah bekalan air ini akan dapat diselesaikan sepenuhnya," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian telaga tiub sumbangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai di Kampung Gomok, Tepoh, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.

Beliau yang juga Adun Chukai berkata, pihaknya akan menyediakan sebanyak 15 telaga tiub di beberapa kawasan di daerah ini terutama di kawasan golongan tidak berkemampuan seperti warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).

HANAFIAH (dua dari kanan) melihat satu daripada 15 telaga tiub sumbangan DUN Cukai di Kampung Gomok, Tepoh. FOTO Zaid Salim.
HANAFIAH (dua dari kanan) melihat satu daripada 15 telaga tiub sumbangan DUN Cukai di Kampung Gomok, Tepoh. FOTO Zaid Salim.

Menurutnya, pemasangan telaga tiub berkenaan menelan belanja antara RM1,000 hingga RM1,500 setiap satu dan dijangka siap dalam tempoh tiga hari.

"Saya difahamkan, di daerah Kuala Nerus ini terdapat sebanyak kira-kira 50 telaga tiub dan sebilangan besarnya dibina sendiri oleh penduduk," katanya.

Sebelum ini kerajaan negeri melalui Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Terengganu Incorporated (TI) sudah menyalurkan bantuan segera sebanyak RM2.79 juta bagi menangani masalah itu.

Hanafiah berkata, selain penghantaran air bersih, kerajaan juga memperuntukkan RM1.25 juta bagi menyediakan air minuman yang diagihkan bermula Jumaat lalu.

Beliau berkata, sebanyak 96 lori digunakan bagi menghantar air ke tangki statik disediakan kerajaan di setiap kampung terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 6:06 PM