Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud. FOTO IZWAN ABDULLAH
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud. FOTO IZWAN ABDULLAH
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Enam telaga tiub yang dibina di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggunakan dana RM3 juta diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu dijangka siap sepenuhnya pada 26 Mac ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, ketika ini kontraktor projek itu sedang menyiapkan tangki takungan dan sistem penapisan air untuk semua telaga tiub terbabit, selain pemasangan paip ke kolej kediaman pelajar.

"Alhamdulillah, buat masa ini proses menggerudi telaga tiub sudah siap sepenuhnya dan sekarang ini kontraktor sedang membuat takungan serta penapis dengan pencapaian kerja setakat ini sudah lebih kurang 70 peratus.

"Pada masa yang sama, kita juga sudah melantik kontraktor untuk membuat pemasangan paip ke asrama (kolej kediaman pelajar) dan projek itu juga sedang dilaksanakan," katanya ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat Pelan Induk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) 2023-2026, di sini, hari ini.

Mustapha diminta mengulas perkembangan projek telaga tiub itu yang dimulakan pada Januari lalu selepas pelajar UMS mengadu menghadapi kesukaran menjalani rutin harian hingga tidak mandi berhari-hari disebabkan bekalan air yang terhad dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Katanya, berdasarkan perkembangan projek itu setakat ini, beliau yakin kemudahan itu dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual supaya pelajar yang kembali memulakan sesi akademik selepas cuti semester tidak lagi berdepan masalah air.

"Kita mahu projek itu siap sepenuhnya, maknanya siap hingga air dari telaga tiub terbabit dapat digunakan oleh pelajar di kolej kediaman, bukan setakat siap menggerudi telaga tiub," katanya.

Selain enam telaga tiub yang dibiayai dengan dana RM3 juta diumumkan Perdana Menteri, dua lagi telaga tiub tambahan dibina menggunakan peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi, selain satu sudah siap atas inisiaitif UMS sendiri, menjadikan sembilan telaga tiub apabila siap sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 4:20 PM