PIEE (kanan) menunjukkan kepada Vidyananthan (kiri) pam air yang dibeli hasil kutipan penduduk. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PIEE (kanan) menunjukkan kepada Vidyananthan (kiri) pam air yang dibeli hasil kutipan penduduk. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Adnan Ibrahim


PENDUDUK Kampung Orang Asli Air Pasir di Pekan Kahang di sini, mengeluarkan duit sendiri demi mendapatkan bekalan air bersih.

Mereka terpaksa membeli mesin pengepam air serta menggali telaga selepas kampung itu gagal mendapat bekalan air terawat.

Batin Kampung Orang Asli Air Pasir, Piee Usin berkata, keadaan ini berlaku apabila rancangan menyediakan telaga tiub hasil penyelidikan universiti tempatan bersama kerajaan pada 2017 tergendala.

Katanya, melalui kajian itu, pihak terbabit menemui kawasan tidak jauh dari kampung yang ada bekalan air bawah tanah mencukupi untuk kegunaan penduduk.

“Namun selepas siap pemasangan tiub pada perigi, projek itu terbiar tanpa ada usaha meneruskannya.

“Susulan itu kami menggali perigi dan membeli mesin pengepam air hasil kutipan setiap keluarga penduduk,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kahang, R Vidyananthan.

Menurutnya, tujuh telaga digali menggunakan tujuh mesin pengepam air bagi menampung keperluan 162 penduduk membabitkan 45 keluarga di kampung itu.

“Kami terkilan apabila bantuan dijanjikan tidak tertunai. Pembinaan perigi tiub yang hampir siap itu ditinggalkan begitu sahaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:15 AM