Zaid Salim


Kuala Nerus: Pemasangan 41 paip baharu bagi menggantikan paip lama di dasar Sungai Terengganu dijangka menyelesaikan isu bekalan air terputus yang menjejaskan lebih 150,000 pengguna di daerah ini dan sebahagian Kuala Terengganu sejak 23 Ogos lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua paip berkenaan serta 48 komponen lain yang didatangkan dari Australia dan Itali akan tiba ke negeri ini secara berperingkat.

"Buat masa ini, kita sudah menerima sembilan paip baru dan kerja penyambungan sudah bermula hari ini.

"Dalam masa sama, kita juga sudah memasang tiga alat Pemacu Frekuensi Berubah atau Variable Frequensi Drive dari Jepun di Loji Air Kuala Terengganu Utara (KTU).

"Pemasangan paip baru dan alat frekuensi berkenaan dijangka siap pada 12 September ini dan diharap proses pembaikan lancar sekali gus menyelesaikan krisis air di Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu yang berlaku pada 2 Ogos dan 23 Ogos lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada program 'Misi Kebajikan Bersamamu' di Dewan Sivik Kampung Buluh Gading, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, kerajaan negeri turut menerima sumbangan RM1.6 juta daripada kumpulan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi tujuan pembaikan paip berkenaan.

Ahmad Samsuri berkata, apabila kerja pembaikan selesai, pengguna di dua daerah berkenaan akan mendapat dua punca saluran air bersih ke Tangki Utama Berangan.

DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa sidang media pada program Misi Kebajikan Bersamamu di Kampung Buloh Gading, Tepoh.  FOTO Ghazali Kori
DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa sidang media pada program Misi Kebajikan Bersamamu di Kampung Buloh Gading, Tepoh. FOTO Ghazali Kori

Menurutnya, keupayaan paip dasar sungai adalah sebanyak 50 juta liter sehari, manakala keupayaan pengeluaran air di loji KTU sebanyak 120 juta liter sehari untuk disalurkan kepada rakyat secara menyeluruh.

"Sebanyak 36 lori tangki digunakan bagi melakukan pengagihan air kepada penduduk yang terjejas sepanjang krisis air ini.

"Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan sebanyak 357 tangki statik dan 152 pili air yang ditempatkan di beberapa kawasan bagi kegunaan penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 2:54 PM