Pemandu lori, Azmi Sulung, 46, dibawa keluar selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. - Foto ASWADI ALIAS
Pemandu lori, Azmi Sulung, 46, dibawa keluar selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. - Foto ASWADI ALIAS
BERNAMA

Kuala Terengganu: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, terhadap pertuduhan menyebabkan kematian empat sekeluarga dalam kemalangan di Batu Rakit, dekat

sini, minggu lalu.

Azmi Sulung, 46, dari Kampung Wakaf Gomok, Tepoh, didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 pagi di Jalan Kampung Bukit Nanas, Batu Rakit, 11 Ogos lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Majistret Abdul Hayyi Salim membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 tetapi memerintahkan lesen memandunya digantung sehingga selesai perbicaraan dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 September depan.

Khamis lalu, empat sekeluarga terkorban di Jalan Kampung Bukit Nenas, berdekatan Sekolah Kebangsaan Bukit Nanas, Batu Rakit, selepas kereta mereka dirempuh sebuah lori dari arah bertentangan.

Kejadian 1 pagi itu berlaku ketika Mustapha Abdullah, 56, anaknya, Azman Mustapha, 32, Mohd Sabri Ngah, 48, dan pemandu Alif Faizal Ibrahim @Ismail, 26, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Seberang Takir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 6:15 PM