KERJA penggerudian telaga tiub yang dilakukan kontraktor di kampus induk UMS, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan UMS
KERJA penggerudian telaga tiub yang dilakukan kontraktor di kampus induk UMS, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan UMS
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Proses penggerudian tiga daripada enam telaga tiub bernilai RM3 juta di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, sudah siap, semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata ketiga-tiga telaga terbabit mempunyai sumber air bawah tanah yang diperlukan untuk menangani krisis air di kampus UMS.

Katanya, seterusnya ialah pemasangan tangki dan sistem penapisan air disusuli kerja perpaipan bagi menyalurkan air ke kolej kediaman penuntut.

"Tiga telaga tiub sudah siap digerudi dan kini kontraktor dalam proses membuat tangki serta memasang penapis air sebelum disusuli pemasangan paip ke asrama.

"Tiga lagi telaga tiub masih dalam proses penggerudian dan saya akan terus memantau pelaksanaannya termasuk membuat lawatan mengejut bagi memastikan ia siap mengikut jadual pada Mac depan," katanya ketika ditemui selepas meninjau kerja penggerudian dilakukan syarikat kontraktor di UMS, semalam.

Projek berkenaan yang dijadual siap sepenuhnya pada Mac depan mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pelajar UMS mengadu berdepan kesukaran akibat krisis bekalan air yang kritikal di kampus universiti itu tahun lalu.

Anwar pada Mei tahun lalu mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk membantu menangani masalah itu dan ia digunakan untuk membina sistem telaga tiub sebagai langkah jangka pendek menampung keperluan air di kampus UMS.

Sementara itu, Mustapha berkata, projek itu yang hanya bersifat penyelesaian jangka pendek bagi mengurangkan beban pelajar akibat bekalan air tidak mencukupi daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

"Kita mahu tekankan kepada pihak JANS supaya dapat menyalurkan sekurang-kurangnya tiga juta liter sehari (MLD) ke tangki UMS.

"Ini penting sebab usaha yang kita buat ini (telaga tiub) hanya untuk sementara saja. Ia tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan air penuntut dan kegiatan biasa di universiti," katanya.

Berdasarkan laporan sebelum ini, pihak JANS berdepan masalah kekurangan bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tuaran berikutan kadar permintaan yang melebihi kapasiti menyebabkan banyak kawasan, termasuk UMS terjejas.

Sementara itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar meminta JANS meningkatkan pemantauan dan operasi pemotongan penyambungan paip haram di sekitar Sepanggar yang dikenal pasti turut menyumbang kepada masalah tekanan rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 8:24 AM