Zaid Salim


Kuala Nerus: Bekalan air sudah mula disalurkan kepada pengguna bermula pagi hari ini sekali gus memberi kelegaan kepada lebih 28,000 pemilik akaun di dua daerah membabitkan daerah ini dan sebahagian Kuala Terengganu yang terjejas sejak 23 Ogos lalu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu Dr Mamad Puteh berkata, terdapat empat peratus pengguna atau lebih 2,000 keluarga belum dapat menerima bekalan itu membabitkan penduduk di kawasan berbukit dan jauh daripada tangki utama.

Menurutnya, kampung yang masih belum menerima bekalan air antaranya sebahagian kawasan di sekitar Maras, Kampung Bukit Wan, Lingai, Bukit Sudu, Bukit Chempaka, Wakaf Tembesu, Banggil Air Lilih dan Padang Sentosa,

"Semua kampung terbabit dijangka akan mendapat bekalan air secara berperingkat dan akan pulih sepenuhnya selewat-lewatnya pagi esok," katanya pada sidang akhbar di Dewan Serbaguna Tepoh di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU) Abdul Karim Endut.

DR. Mamad Puteh (tengah) melihat air bersih  yang mula disalurkan kepada penduduk ketika ditemui selepas sidang media di Dewan Serbaguna Tepoh. FOTO Ghazali Kori
DR. Mamad Puteh (tengah) melihat air bersih yang mula disalurkan kepada penduduk ketika ditemui selepas sidang media di Dewan Serbaguna Tepoh. FOTO Ghazali Kori

Menurutnya, bekalan air bersih itu berjaya disalurkan melalui pengaktifan sebahagian Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit dengan keupayaan 60 hingga 70 liter per hari (MLD) melalui Loji Pulau Bahagia.

Katanya, keupayaan penuh loji berkenaan adalah 120 MLD dan ia dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2022.

"Untuk sementara keupayaan 60 hingga 70 MLD sudah mencukupi untuk menyalurkan air ke seluruh kawasan yang terjejas," katanya.

Beliau berkata, pengoperasian LRA Bukit Berapit itu adalah penyelesaian strategik jangka panjang yang sudah dirancang bagi pembekalan air bersih di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Mamad Puteh berkata, projek berkenaan juga adalah sebahagian daripada komponen projek bekalan air Kuala Terengganu Utara (KTU).

Sementara itu, katanya, kerja pembaikan paip pecah di dasar Sungai Terengganu sedang giat dilaksanakan dan berjalan mengikut jadual.

Katanya, jajaran paip tangki utama Barangan itu akan menjadi alternatif kepada bekalan air bersih dan LRA Bukit Berapit di masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 5:06 PM