Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Polis menumpaskan kumpulan samun yang mensasarkan warga asing selepas menyerbu dua rumah berasingan di Taman Medan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek berusia 21 hingga 48 tahun itu ditahan selepas risikan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

"Sebelum ini polis menerima laporan daripada tujuh warga asing disamun kumpulan terbabit pada Mei lalu.

"Suspek menggunakan senjata pisau dan cota serta mengugut mahu mencederakan mangsa dan rakan-rakan di rumah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, susulan dari kejadian itu, berdasarkan maklumat daripada mangsa satu risikan dijalankan bagi mengenal pasti suspek.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

"Bertindak atas maklumat kita berjaya memberkas suspek semalam dan kesemua mereka mengaku terbabit dalam lima kes samun dan curi motosikal dalam daerah Petaling Jaya dan satu kes di Subang jaya.

"Semakan lanjut mendapati empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati empat dari suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

"Semua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan menggunakan senjata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 3:57 PM