GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Subang Jaya: Polis menumpaskan kumpulan penjenayah yang melakukan kegiatan samun selepas menahan tiga lelaki dalam tiga serbuan berasingan di Bandar Sunway, Taman Punchong Permai dan Petaling Jaya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, ketiga-tiga suspek ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dengan dibantu Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan IPD Petaling Jaya.

"Penahanan ini membawa rampasan pelbagai barang kes antaranya lapan telefon bimbit, kad bank, sebuah motosikal selain kunci kenderaan.

"Turut dirampas peralatan dipercayai diguna untuk lakukan samun seperti pemutar skru, spanar, playar serta pisau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek terbabit dalam enam kes samun dan pecah rumah di sekitar Subang Jaya dan Petaling Jaya.

Katanya, suspek juga dipercayai terbabit dalam kegiatan penagihan dadah.

"Semua suspek kini direman tujuh hari sehingga 12 Januari untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, pada hari yang sama polis menerima panggilan daripada seorang wanita berusia 43 tahun menyatakan rumahnya di Subang Jaya dimasuki dua suspek kira-kira jam 4.20 pagi.

Salah seorang suspek juga mencederakan jiran mangsa yang datang membantu.

Sehubungan itu, Wan Azlan berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang dan segera menyalurkan maklumat kejadian jenayah di talian 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 12:11 PM