BARANGAN rampasan kes samun, pecah kedai dan larikan kenderaan di daerah Ampang Jaya susulan penahanan empat lelaki. FOTO ihsan pdrm
BARANGAN rampasan kes samun, pecah kedai dan larikan kenderaan di daerah Ampang Jaya susulan penahanan empat lelaki. FOTO ihsan pdrm
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Ronda dengan motosikal pada awal pagi sebelum melakukan samun dengan menyasarkan bangunan kedai.

Itu taktik empat lelaki yang terbabit dalam kes samun, pecah kedai dan melarikan kenderaan.

Bagaimanapun kegiatan suspek berusia 29 hingga 42 tahun itu tumpas selepas ditahan polis di Jalan Pasir Emas, Sungai Chua, Kajang, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sebelum ini pihaknya menerima maklumat berkaitan kes samun dan pecah kedai di Jalan Lingkaran Tengah 2, Kuala Ampang, di sini, 4 Julai lalu.

Menurutnya, pada jam 1.15 pagi ini, hasil risikan dan maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya membuat tangkapan ke atas empat lelaki.

"Semakan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek pertama mempunyai empat rekod jenayah, suspek kedua (tiga rekod jenayah), suspek ketiga (satu rekod jenayah) manakala suspek keempat (tujuh rekod jenayah).

"Suspek akan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Julai ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penahanan mereka dipercayai berjaya menyelesaikan tiga kes di Ampang Jaya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 3:31 PM