PASUKAN SAR membincangkan mengenai operasi mengesan Zulshahmi yang memasuki hari ketiga, hari ini. FOTO ihsan APMM.
PASUKAN SAR membincangkan mengenai operasi mengesan Zulshahmi yang memasuki hari ketiga, hari ini. FOTO ihsan APMM.
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan memperluaskan sektor pencarian ke 78.96 batu nautika persegi pada hari ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi pemancing yang masih hilang.

Pencarian itu membabitkan jumlah keseluruhan luas pencarian sehingga hari ini adalah 154.41 batu nautika persegi.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, SAR dilakukan Kapal Maritim (KM) Amanah sebagai on scene coordinator (OSC) manakala bot PSC 35 milik Pasukan Polis Marin (PPM) ke sektor pencarian.

"Kami memulakan SAR seawal 7 pagi membabitkan radius kawasan lokasi terakhir bot berkenaan dipercayai terbalik.

"Cuaca hari ini baik dengan kelajuan angin 10 hingga 20 kilometer sejam dan ketinggian ombak pada kadar 0.5 hingga 10 meter," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, agensi lain terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta lain-lain agensi berkenaan.

Beliau berkata, komuniti maritim seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan nelayan tempatan turut membantu pencarian.

Mangsa masih hilang adalah Zulshahmi Danial Zulazaman, 26, yang gagal ditemui melebihi 60 jam selepas bot dinaiki untuk mencandat sotong bersama dua lagi rakan dipukul ribut dan terbalik pada 8.30 malam, Jumaat lalu.

Dua rakannya, Mat Awang@Jali, 54, dan Mat Harun Mohd Nor, 55 ditemui selamat 3 petang Sabtu lalu.

Zulshahmi dipercayai memakai baju berwarna kelabu dan berseluar pendek berwarna hitam selain dikatakan tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 1:48 PM