Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Sebagai ibu saya tetap berdoa bahawa akan berlaku keajaiban walaupun perkara itu mustahil," kata Suzey Mustafa.

Suzey, 51, ibu kepada Zulshahmi Danial Zulazman, 26, mangsa bot terbalik dalam tragedi mencandat sotong di perairan Kuala Besar pada malam Jumaat lalu yang masih belum ditemui.

Menurutnya, dia begitu berharap anak bongsu daripada dua beradik itu ditemui walau dalam apa keadaan sekalipun.

Katanya, solat hajat sudah dilakukan malam semalam dengan harapan operasi mencari dan menyelamat (SAR) anaknya dipermudahkan.

"Saya masih berharap dia (Zulshahmi) selamat sama ada diselamatkan sesiapa sahaja atau hanyut ke tebing sungai.

"Tapi dalam masa sama saya cuba berlapang dada untuk menerima takdir andainya ia tidak seperti yang saya harapkan.

"Sebaik mendapat tahu dua rakannya ditemui selamat petang semalam, jauh di lubuk hati saya mengharapkan perkkara sama walaupun agak mustahil," katanya ketika ditemui di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar, di sini, hari ini.

Suzey berkata, pada hari kejadian Zulshahmi memberitahu bahawa ia adalah kali terakhir dia turun ke laut memancing dan mencandat sotong.

Menurutnya, dia tidak menjangkakan sesuatu yang serius, malah menganggap kata-kata itu hanya untuk memujuknya yang kerap melarang anaknya turun ke laut.

"Ada beberapa lagi perubahan ditunjukkan antaranya meletakkan status WhatsApp dengan kata-kata 'Setiap yang hidup pasti akan mati'.

"Selain itu sepupunya turut bermimpi Shahmi muncul dalam keadaan penuh selut dan tidak bersuara," katanya.

Dalam kejadian 8.30 malam kelmarin, bot yang dinaiki Zulshahmi bersama dua pemancing lain, Mat Awang@Jali, 54 dan Mat Harun Mohd Nor, 55, terbalik dipukul ribut.

IBU Zulshahmi Danial Zulazman, 26, menunjukkan gambar anaknya yang masih belum ditemui dalam tragedi bot terbalik di Perairan Kuala Besar di sini malam kelmarin. FOTO Siti Rohana Idris
IBU Zulshahmi Danial Zulazman, 26, menunjukkan gambar anaknya yang masih belum ditemui dalam tragedi bot terbalik di Perairan Kuala Besar di sini malam kelmarin. FOTO Siti Rohana Idris

Bagaimanapun, Mat dan Mat Harun ditemui dengan selamat pada 3 petang semalam oleh pemancing tidak jauh dari lokasi kejadian dalam keadaan berpaut di tong ikan dan lemah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, operasi SAR disambung bermula 8 pagi tadi dengan radius pencarian diperluaskan kepada 3.5 batu nautika.

"Cuaca hari ini agak baik dan ombak kurang yang memudahkan pasukan SAR. Setakat ini tiada sebarang petunjuk ditemui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 1:41 PM