APMM Negeri Kelantan menggerakkan dua pasukan membabitkan pasukan barisan hadapan Carilamat (PHC) dan KM Amanah dengan kekuatan 24 anggota dengan keluasan 25 batu nautika. FOTO ihsan APMM
APMM Negeri Kelantan menggerakkan dua pasukan membabitkan pasukan barisan hadapan Carilamat (PHC) dan KM Amanah dengan kekuatan 24 anggota dengan keluasan 25 batu nautika. FOTO ihsan APMM
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan dua pasukan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga pemancing yang hilang di perairan Kuala Besar, Badang, malam tadi.

Ia membabitkan pasukan barisan hadapan Carilamat (PHC) dan Kapal Maritim (KM) Amanah dengan kekuatan 24 anggota.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, operasi SAR bermula sebaik mendapat maklumat daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan pada 7.15 pagi tadi.

"Sektor pencarian hari ini berkeluasan 25 batu nautika persegi dengan menumpukan last known position (LKP) (lokasi terakhir) bot terbalik semalam.

"Operasi SAR dijalankan dengan mencari ketiga-tiga mangsa di kawasan permukaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhd Nur Syam berkata, turut menyertai SAR adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan lain-lain agensi penyelamat.

Terdahulu, tiga mangsa iaitu Mat Harun Mohd Nor, 54; Mat Awang @Jali, 55, dan Zulshahmi Danial Zulazman, 26, hilang selepas bot yang dinaiki terbalik dipukul ribut, malam tadi.

Mereka dipercayai bersama 12 lagi pemancing menaiki lima bot dari jeti Kampung Keseng, Kuala Besar pada 5 petang semalam untuk memacing dan mencandat sotong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 3:51 PM