LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Hazsyah Abdul Rahman


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) empat lagi mangsa bot terbalik di perairan Pulau Nunuyan, dekat Sandakan , dipergiatkan lagi di lapan sektor pencarian.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, SAR dimulakan jam 7 pagi hari ini.

“Seramai 111 anggota terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terbabit dalam SAR ini.

“Kawasan pencarian merangkumi seluas 187 batu nautika persegi dan dipecahkan kepada lapan sektor,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, media turut menyertai SAR bersama APMM di Kapal Maritim (KM) Serasan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, Khamis lalu, sebuah bot pancung dinaiki 11 individu dilaporkan terbalik.

Lima mangsa yang berpaut pada bot berjaya diselamatkan TLDM, manakala enam lagi hilang.

Pasukan SAR kemudian berjaya menemui mayat kanak-kanak lelaki tujuh tahun dan mayat wanita 42 tahun terapung di perairan terbabit.

Namun, empat mangsa iaitu bayi perempuan berusia 18 bulan, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan dua lelaki masing-masing berusia 27 dan 40 tahun dilaporkan masih hilang.

Berita berkaitan

  • Satu lagi mayat ditemui
  • Mayat kanak-kanak ditemui, 5 lagi masih hilang
  • 5 selamat, 6 dikhuatiri lemas
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 10:52 AM