APMM dalam operasi SAR Zulshahmi yang masih hilang. FOTO Ihsan APMM
APMM dalam operasi SAR Zulshahmi yang masih hilang. FOTO Ihsan APMM
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Tiada sebarang petunjuk baharu ditemui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemancing Zulshahmi Danial Zulazman, 26, yang sudah memasuki hari keempat, hari ini.

Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, SAR hari ini membabitkan kawasan pencarian seluas 115.62 batu nautika persegi.

Katanya, ia menjadikan jumlah luas keseluruhan pencarian berjumlah 278.03 batu nautika persegi.

"Seawal 7 pagi, APMM sudah mengatur gerak di Pangkalan Hadapan Carilamat (PCH) di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar, Kota Bharu.

"Bot Ronda RH3 Pasukan Polis Marin (PPM) dan bot Destiny milik Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut digerak atur ke sektor pencarian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhd Nur Syam berkata, SAR turut memohon isyarat awal kecemasan, Navigation Telex (NAVTEX) yang dihantar ke Jabatan Laut Malaysia untuk memaklumkan kehilangan mangsa kepada kapal berkenaan carilamat Zulshahmi.

Katanya, pihak Maritime Rescue Coordination Centre (MRSC) Putrajaya juga sudah memaklumkan kepada pihak berkuasa Thailand berkenaan kejadian kerana dikhuatiri mangsa mungkin hanyut ke perairan negara jiran itu.

"Zulshahmi kali terakhir dipercayai memakai baju berwarna kelabu dan seluar pendek hitam serta tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian," katanya.

Zulshahmi adalah pemancing terakhir yang belum ditemui selepas bot dinaiki bersama tiga rakan lain terbalik dipukul ribut ketika mencandat sotong, Jumaat lalu.

Dua rakan mangsa, Mat Awang@Jali,54 dan Mat Harun Mohd Nor, 55 ditemui selamat, 3 petang, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 9:41 PM