LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini.
Junita Mat Rasid


DUA lagi mayat dipercayai kru kapal korek JBB Rong Chang 8 yang terbalik di perairan Parit Jawa, Muar, ditemui di perairan Pulau Rupat, Indonesia.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Selatan Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan kedua-dua mayat itu daripada Badan SAR National (Basarnas) Indonesia, Khamis lalu.

Katanya, lokasi penemuan mayat itu terletak kira-kira 55 batu nautika dari lokasi kapal terbabit terbalik pada 21 Mac lalu.

“Identiti mayat yang ditemui masih belum dikenal pasti. Pihak ejen kapal sudah dimaklumkan bagi menghantar wakil ke sana untuk proses pengesahan identiti serta urusan selanjutnya.

“Kita tidak menolak mungkin mayat yang dijumpai di Indonesia adalah mangsa yang kita cari," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Sanifah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kru kapal itu yang memasuki hari ke-12 diteruskan.

“Operasi SAR ini memasuki hari ke-12 dengan tempoh pencarian hampir 280 jam sejak operasi dimulakan pada 9 pagi, 21 Mac lalu.

“Usaha mencari baki kru kapal JBB Rong Chang 8 ditumpukan di perairan Melaka sehingga Tanjung Tohor di Muar dengan keluasan pencarian hampir 600 batu nautika persegi,” katanya.

Katanya, setakat ini lima mangsa ditemui selamat, malah sudah dibenarkan keluar dari hospital dan berdasarkan penemuan terbaru itu, enam mayat ditemui.

“Dua mayat sudah dapat dikenal pasti identiti, manakala empat lagi masih menunggu pengesahan identiti," katanya.

Orang ramai diminta menghubungi hotline Pusat Operasi Maritim Wilayah Selatan di 07-2219231 atau hotline 999 jika terlihat atau menjumpai mangsa di sekitar kawasan pencarian.

Kapal korek JBB Rong Chang 8 terbalik kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa dengan tiga mangsa berjaya diselamatkan, manakala seorang kru disahkan meninggal dunia pada hari pertama operasi SAR dilaksanakan.

Dua lagi kru kapal terbabit berjaya diselamatkan pada hari ketiga operasi SAR apabila pasukan penyelam menemui dua mangsa terperangkap dalam bilik enjin kapal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 4:06 PM